15 October 2009

Khalid akan bincang dengan Adun Perlabuhan Klang

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sedia mengadakan perbincangan dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah jika beliau serius mahu mengekalkan kedudukannya.

Khalid yang juga Pengerusi PKR Selangor berkata, pihaknya merancang mengadakan perjumpaan dengan Badrul yang dikatakan menghadapi masalah kesihatan dan gagal menumpukan perhatian kepada tugasnya.

“Kita dah mula merancang perjumpaan dan untuk cuba mengatasi beberapa masalah yang dihadapi oleh saudara Badrul dengan tujuan untuk meminta Badrul menjalankan tugas sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun),”katanya.

Tan Sri Khalid berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2009, Zon Tengah Peringkat Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak, Shah Alam.

Khalid mengulas laporan kononnya Badrul akan keluar dari PKR dan menjadi Adun Bebas yang menyokong Barisan Nasional (BN). Beliau ini berjalan sejak Januari lalu lagi.

Yang terkini, beliau dikatakan mahu menurut jejak beberapa Adun PKR di Perak dan juga Kedah.

Namun, sehingga kini, Badrul menafikan beliau akan keluar dari PKR bahkan akan terus bersama dengan Pakatan Rakyat.

Sejak beberapa bulan lalu, Badrul (gambar) dipertikaikan oleh pelbagai pihak ekoran dari kesukaran penduduk kawasannya mendapatkan khidmat dari beliau sebagai Adun.

Pejabat beliau juga tidak dibuka sejak kebelakangan ini.

Usaha pengedar akhbar kerajaan negeri Selangor, Selangor kini, Kalam Fatiha, menghantar akhbar itu ke pejabatnya juga gagal kerana pejabatnya sudah ditutup.

Menurut jiran-jiran pejabat beliau, pejabat itu sudah lama tidak dibuka.

Menurut Khalid, pihaknya memberi tempoh sehingga hujung bulan ini untuk menetapkan kedudukan Badrul, bagi memastikan penduduk DUN Pelabuhan Klang mendapat perkhidmatan yang sewajarnya.

Beliau berkata, apa yang penting Badrul harus menunjukkan kesediaaanya untuk terus mewakili penduduk di kawasan terbabit dan membantu mereka menyelesaikan masalah yang mereka hadapi.

“Saya agak positif dia ingin mengadakan perbincangan tapi itu perbincangan sahaja tidak cukup mesti nampak, dia boleh nampak oleh masyarakat di Pelabuhan Klang dia menjalankan tugas sebagai ahli dewan undangan negeri,” katanya.

Mengenai tekanan yang dihadapi oleh kerajaan negeri berhubung isu tersebut, Tan Sri Khalid berkata, pihaknya berusaha sedaya upaya menyelesaikan masalah itu secepat mungkin.Harakah

No comments:

Post a Comment