24 October 2009

Pelakon dakwa dipaksa mengaku curi dua buku

Perbicaraan kes 'detektif Lim' bersambung 4 Disember

KUALA LUMPUR: Pelakon Gerak Khas, Mohd Farid Amirul Wu Abdullah, yang menghadapi tuduhan mencuri buku bertajuk Decoding The Heaven dan The Sistine Secrets berharga RM194.90 Mac lalu, memberitahu Mahkamah Majistret di sini semalam dia dipaksa mengaku melakukan kesalahan itu oleh pekerja di kedai buku itu.

Farid Amirul, 44, ketika ditanya peguam bela, Mohd Azri Mohd Ariff berhubung kejadian itu, berkata selepas dia tahan oleh pengawal keselamatan kedai buku itu, tertuduh dibawa ke sebuah bilik untuk disoal-siasat.

Tertuduh yang memberi keterangan secara bersumpah dalam kandang saksi berkata, selepas menunggu beberapa minit bersama pengawal dan pekerja MPH Bookstore, seorang lagi pekerja hadir dan menyuruhnya mengaku mencuri buku berkenaan.

“Saya dipaksa mengaku mencuri buku itu kerana mereka sudah memerhatikan gerak-geri saya yang berlegar di kawasan rak buku malah mengesyaki saya mempunyai niat untuk mencuri.

“Kemudian saya merayu untuk bertemu pengurus MPH Bookstore, malangnya mereka tidak mengendahkannya. Pekerja itu terus memaksa saya untuk mengaku selain memberi amaran supaya saya tidak menjejakkan kaki lagi di mana-mana MPH Bookstore, ” katanya.

Farid Amirul yang terkenal dengan watak `Detektif Lim' itu berkata, ketika ditahan dia dalam keadaan terpinga-pinga dan tidak tahu apa yang berlaku.

“Ketika kejadian, saya sedang memegang dua buku itu dan melewati kawasan sensor (alat pengesan) dan tiba-tiba ia berbunyi membuatkan saya terkejut. Sejurus itu, seorang pengawal datang ke arah saya dan menahan sebelum di bawa ke bilik untuk disoal siasat,” katanya.

Tertuduh sebelum ini didakwa atas tuduhan mencuri buku bertajuk 'The Sistine Secrets' berharga RM89.90 dan 'Decoding The Heavens' berharga RM105 di Kedai Buku MPH Bookstore Mid Valley, jam 7.15 malam, pada 27 Mac lalu.

Perbicaraan di hadapan Majistret Mohd Faizi Che Abu bersambung 4 Disember 2009. - Bharian

No comments:

Post a Comment