14 October 2009

Obama tambah 13,000 askar ke Afghanistan

WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama menghantar 13,000 askar tambahan AS ke Afghanistan tanpa membuat sebarang pengumuman.

Penghantaran askar tambahan itu melibatkan pasukan sokongan utama seperti jurutera, kakitangan perubatan, pakar perisikan dan polis tentera.

Jumlah keseluruhan penghantaran tentera yang diluluskan pentadbiran Obama kini meningkat kepada 34,000 orang.

"Obama meluluskan kesemuanya," kata seorang pegawai pertahanan.

Obama menerima tekanan daripada komander AS di Afghanistan, Jeneral Stanley McChrystal yang mendesak beliau menyediakan lebih ramai askar tempur, latihan dan sokongan.

Pada penghujung tahun ini, jumlah maksimum askar AS di Afghanistan dijangka mencecah 68,000 orang.

Sebelum ini, penempatan askar sokongan tidak pernah diumumkan oleh Pentagon dan Rumah Putih.

Semasa era bekas Presiden George W Bush, beliau hanya mengumumkan mengenai 20,000 askar tempur AS di Afghanistan, tetapi tidak menyebut mengenai 8,000 askar sokongan di negara itu.- Sinar Harian

No comments:

Post a Comment