27 October 2009

Nik Aziz berundurlah sebelum dikutuk - Dr. Mahathir

KUALA LUMPUR 26 Okt. - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat diminta memahami bahawa kepimpinannya telah mula ditolak sama ada dari dalam mahupun luar parti yang memerlukan beliau berundur segera.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, bagi semua pemimpin politik, akan tiba masanya untuk berundur demi memastikan legasi pemerintahan mereka dikenang secara baik.

"Jika Nik Abdul Aziz memilih untuk tidak mendengar atau masih mahu berpegang kepada kuasa, ada kemungkinan beliau akan mula dikutuk masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas pelancaran Konvensyen Pengurusan Aset dan Kemudahan Negara (Nafam) 2009 oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini hari ini.

Dr. Mahathir berkata, beliau memberikan nasihat itu berdasarkan pengalamannya semasa aktif dalam politik dahulu.

Justeru, menurutnya, beliau sendiri telah berundur ketika gesaan ke arah itu mula timbul.

"Sebelum orang mula berkata 'hey, orang tua ini bila dia nak pergi', sebelum orang kata macam itu, maka berundurlah kerana masa itu orang akan ingat kita.

"Kalau tunggu sampai orang 'tendang' kita, masa itu orang akan kata benda-benda yang teruk-teruk, nasib baiklah saya cukup pada masanya (berundur)," katanya.

Nik Abdul Aziz menyertai Pas pada 1960 sebagai ahli biasa dan menjadi Ahli Parlimen Hilir Kelantan pada 1967.

Jawatan Mursyidul Am dan Menteri Besar Kelantan pula dipegang beliau bermula pada tahun 1995 sehingga kini.

Nik Abdul Aziz beberapa hari lalu menulis dalam blognya meminta diadakan Muktamar Agung Khas (EGM) bagi membersihkan parti daripada 'dua tiga kerat' pemimpin bermasalah.

Pemimpin berkenaan disifatkan beliau sebagai bersikap prokerajaan perpaduan.

Campur tangan para pemimpin Pas yang lain kemudiannya membawa kepada persetujuan agar cadangan itu diganti dengan Mesyuarat Khas Pas Pusat.

Mengulas mengenai kerjasama antara UMNO dan Pas yang dikatakan menjadi punca Nik Abdul Aziz menulis mengenai pembersihan dalam partinya, Dr. Mahathir berkata, usaha untuk bersatu boleh dilakukan.

Namun pada Dr. Mahathir perkara itu agak sukar untuk dilakukan kerana untuk bersatu kedua-dua parti itu perlu bersatu dan ada prinsip yang sama. - utusan

* UmnoBN tahu, mustahil merampas Kelantan jika Tok Guru masih menteri besar.

No comments:

Post a Comment