ALOR GAJAH: Bagai aksi dalam filem Hollywood apabila seorang anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) yang bermandikan darah akibat ditetak penyamun membidik senapang patah ke arah kumpulan lelaki terbabit.
Sebelum itu, kumpulan empat lelaki terbabit dipercayai warga asing merompak rumah ibu saudaranya, Maimunah Ali Latif, 48, di Batu 25, Kampung Tebong, dekat sini, selepas masuk menerusi pintu dapur kira-kira jam 2.30 pagi semalam.
Ketua Platun Rela Alor Gajah terbabit, Mohamad Sani Arsad, 46, yang menerima panggilan telefon daripada saudaranya mengenai kejadian terus mengambil senapang patah di rumahnya yang terletak berdekatan lalu cuba memberi bantuan.
Malah, dalam keadaan menahan kesakitan, Mohamad Sani bertindak waras kerana tidak melepaskan tembakan apabila menyedari nyawa ibu saudaranya ‘seperti telur di hujung tanduk’ disebabkan penjenayah menjadikan wanita itu sebagai perisai sambil mengacukan parang di lehernya ketika cuba meloloskan diri.
“Sejurus saja perompak itu melepaskan leher ibu saudara, saya terus melepaskan satu das tembakan dengan mensasarkan kaki perompak.
“Saya tidak pasti tembakan itu kena atau tidak kerana mereka melarikan diri lintang pukang ke kawasan belakang rumah.
“Ketika hendak mengisi peluru kedua, tiba-tiba kepala saya pula ditetak dari belakang oleh perompak menyebabkan terus rebah. Walaupun sakit dan darah mengalir agak banyak, saya tetap bangun sambil menggenggam erat senapang dan membidik ke arah perompak yang melarikan diri,” katanya.
Menceritakan semula kejadian itu, Mohamad Sani berkata, dia menerima panggilan kecemasan daripada seorang saudaranya memberitahu rumah mereka yang berjiran dimasuki penjenayah menyebabkannya mencapai senapang patah dan peluru lalu bergegas ke dapur rumah.
“Dari luar cermin ketika itu, saya lihat pak cik saya tertiarap di lantai berlumuran darah dan tangannya pula diikat di belakang sambil mengadu kesakitan dan ada seorang perompak berdiri berdekatan dengannya.
“Saya terus masuk ke dalam rumah dan melihat seorang perompak berlari masuk ke bilik mak cik. Saya cuba melepaskan pak cik yang cedera sebelum tiga perompak keluar sambil seorang daripada mereka ‘mengunci’ leher mak cik dan mengacukan parang dan perlahan-lahan keluar dari rumah,” katanya.
Mohamad Sani yang lebih 20 tahun menganggotai Rela, berkata dalam keadaan kelam-kabut itu, dia hanya memikirkan untuk menyelamatkan ibu saudaranya daripada dijadikan tebusan.
“Diikutkan saya mahu terus menembak mereka, namun terpaksa mengalah kerana tidak mahu apa-apa terjadi kepada mak cik saya yang turut meminta supaya tidak menembak kerana bimbang perompak mencederakannya.
“Saya terus membidik sambil memberi amaran akan menembak mereka,” katanya yang menerima sembilan jahitan di kepala.
Katanya, selepas memastikan keadaan selamat dan perompak melarikan diri, dia terus menghubungi anaknya dan meminta menghantarnya dan bapa saudaranya ke hospital untuk mendapatkan rawatan. - Mymetro
No comments:
Post a Comment