29 September 2009

Bahana tegur

KUALA LUMPUR: Hanya kerana menegur seorang pengedar dadah menjalankan kegiatan, seorang pengurus syarikat cedera parah dibelasah sekumpulan lebih 15 samseng dan konco sindiket pengedar dadah terbabit yang cuba menunjuk kuasa.

Lebih mengejutkan apabila kumpulan penjenayah terbabit langsung tidak menghiraukan orang ramai yang memandang tindakan ganas mereka selepas suspek membuat huru hara di tingkat tiga sebuah pusat beli-belah terkemuka di Bukit Bintang di sini, petang semalam.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai, Low, 39, berkata, dalam kejadian jam 7.50 malam itu, dia sedang berniaga di pusat beli-belah yang terkenal sebagai lokasi menjual pelbagai alat telekomunikasi dan barangan komputer.

Menurutnya, dia yang selama ini tidak senang hati dengan kegiatan pengedaran dadah di pusat beli-belah itu menegur seorang lelaki yang dikenalinya kerana terbabit dengan aktiviti berkenaan.

“Saya menegur lelaki itu kerana dia sebelum ini kerap datang dan menjual dadah kepada kakitangan saya.

“Nasihat saya itu bagaimanapun menimbulkan rasa tidak puas hati apabila lelaki berkenaan berlalu pergi sebelum muncul semula beberapa minit kemudian.

“Saya terkejut apabila dia datang bersama-sama 15 rakannya lalu menyerang saya tanpa memberi peluang saya mempertahankan diri. Saya ditumbuk dan disepak di muka serta kepala,” katanya.

Dia berkata, orang ramai yang melihat kejadian itu tidak berani membantu kerana bilangan samseng berkenaan terlalu ramai.

“Sebaik puas memukul saya, kumpulan samseng berkenaan meninggalkan saya dalam keadaan mengerang kesakitan. Saya bernasib baik kerana dibantu beberapa peniaga lain yang kebetulan berada di lokasi kejadian.

“Kejadian serangan itu menyebabkan muka, mata dan seluruh tubuh saya lebam,” katanya.

Low berkata, dia membuat laporan di Balai Polis Tun H S Lee bagi memastikan individu bertanggungjawab dikenakan tindakan.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seorang pelajar berusia 17 tahun menjadi mangsa peras ugut sekumpulan tiga lelaki bersenjatakan pisau.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam Jumaat lalu, mangsa bersama dua rakan lain sedang duduk di bawah Stesen Monorel, Jalan Tunku Abdul Rahman di sini, sebelum tiba-tiba dihampiri tiga lelaki tidak dikenali.

Difahamkan, suspek berpura-pura berbual-bual dengan mangsa sebelum seorang daripada mereka dengan wajah selamba meminta mangsa dan rakannya menyerahkan RM10 setiap seorang.

Kumpulan penjenayah berusia 20-an itu mengugut akan menikam mangsa dengan pisau sekiranya mangsa enggan menyerahkan wang kepada mereka.

Suspek mengugut mangsa menyerahkan telefon bimbit menyebabkan mangsa ketakutan sebelum menyerahkan dua telefon bimbit dan wang tunai RM30. - Mymetro

No comments:

Post a Comment