24 September 2009

Pensyarah mati di pusat hiburan

PETALING JAYA: Kematian seorang pensyarah wanita menimbulkan tanda tanya apabila dia dikatakan rebah tiba-tiba ketika berada sebuah di pusat hiburan keluarga di kompleks beli-belah di Mutiara Damansara, dekat sini, kira-kira 11.30 pagi semalam.

Pensyarah sebuah institut pengajian tinggi awam (IPTA) yang berusia 32 tahun itu dikatakan bersama seorang saudaranya berkunjung ke pusat hiburan keluarga terbabit.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Abdul Razak Elias, berkata pensyarah terbabit tiba-tiba terjatuh sebelum dikejarkan ke klinik di tingkat dua pusat beli-belah berkenaan.

“Mayatnya kemudian dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

“Sehingga ini, kita mengklasifikasikan kes terbabit sebagai mati mengejut dan masih menunggu laporan bedah siasat daripada hospital,” katanya.

Menurutnya, jika kematian terbabit berunsur jenayah polis akan membuka kertas siasatan berhubung kejadian itu.

Difahamkan mangsa tidak mempunyai rekod kesihatan yang buruk dan ahli keluarganya membuat laporan polis berhubung kematian itu. - Mymetro

No comments:

Post a Comment