23 September 2009

Juruwang ditetak depan orang ramai

KUALA LUMPUR 22 Sept. – Seorang penjenayah bertindak berani menetak juruwang wanita di tengah-tengah kesibukan orang ramai dalam cubaan samun di sebuah kedai menjual buku dan peralatan sekolah di Jalan 4/3, Pandan Perdana di sini, hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 12.15 tengah hari itu berlaku ketika premis yang terletak bersebelahan dengan beberapa buah restoran dipenuhi dengan orang ramai yang sedang menjamu selera.

Tindakan suspek itu bagaimanapun tidak berbaloi apabila gagal membawa pulang sebarang habuan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang, Supritendan Amiruddin Jamaluddin berkata, ini berikutan mangsa enggan memberikan kata laluan mesin juruwang berkenaan.

Katanya, suspek yang berusia 20-an berang lalu menyerang mangsa menyebabkannya cedera di dagu dan kening.

“Apabila mangsa cuba melarikan diri, suspek bertindak mengejar mangsa sehingga ke kaki lima premis itu sebelum menetak mangsa,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.

Menurut Amiruddin, ekoran itu mangsa yang berusia 25 tahun cedera di pergelangan tangan kiri dan terpaksa menerima rawatan di Hospital Ampang.

Jelas beliau, polis sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di premis itu.

Katanya, suspek didapati memasuki premis itu dengan memakai topi keledar dan berpura-pura sebagai pelanggan.

“Bagaimanapun, imej kira-kira 10 minit yang dirakam melalui CCTV itu kurang jelas,” ujarnya.

Kes itu, kata beliau, disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana menyamun dengan menggunakan senjata. - Utusan

* Yang tidak berbaloi bukan penyamun itu kerana dia akan menyamun tempat lain dengan aman, tetapi kita rakyat tidak berbaloi ada polis.

No comments:

Post a Comment