23 September 2009

Abu Sayyaf mahu serang balas

ZAMBOANGA, Filipina 22 Sept. - Pasukan keselamatan Pulau Jolo di Filipina bersedia menghadapi serangan balas dari kumpulan militan Islam selepas menawan satu daripada kem utama mereka.

Ketua polis di Pulau Jolo, Usman Pingay berkata, dia telah menerima laporan perisikan bahawa Abu Sayyaf merancang untuk menyerang bandar itu selepas kem mereka di pulau tersebut ditawan Ahad lalu.

''Polis kini mengadakan lebih banyak sekatan jalan raya dan melakukan lebih banyak rondaan,'' katanya.

Penduduk pulau tersebut melahirkan kebimbangan mereka terhadap serangan Abu Sayyaf, malah penduduk yang tinggal berdekatan kem-kem tentera telah meninggalkan kediaman mereka.

Ahad lepas, pasukan tentera menyerang kubu Abu Sayyaf di kawasan pergunungan di pinggir bandar Jolo membunuh 17 orang anggota mereka.

Semalam, Abu Sayyaf menyerang hendap anggota tentera laut yang keluar daripada kem tersebut dan membunuh lapan tentera manakala lima anggota militan itu sendiri mati.

Jurucakap tentera, Mejar Ramon David Hontiveros berkata, pasukan tentera hanya menyerang kem pemberontak itu selepas mendapat tahu kira-kira 220 pejuang Abu Sayyaf berkumpul di situ yang mungkin akan menyerang bandar Jolo.

"Kami melihat ini sebagai satu ancaman kepada Jolo, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan terhadap kehadiran lebih 200 Abu Sayyaf," katanya kepada AFP.

"Saya tidak pasti sama ada mereka telah menggugurkan rancangan itu atau tidak, kami perlu melakukan lebih banyak operasi perisikan mengenai itu.

"Penawanan kem itu adalah hasil yang baik tetapi masih banyak lagi yang perlu dilakukan, kami perlu mengenal pasti lokasi baru mereka bagi menghalang Abu Sayyaf melakukan lebih banyak serangan," ujarnya.

Kumpulan Abu Sayyaf ditubuhkan pada awal 1990-an, disyaki menerima dana daripada rangkaian al-Qaeda pimpinan Osama bin Laden untuk memperjuangkan negeri Islam di negara yang kebanyakan merupakan Roman Katholik.

Ia telah menculik berdozen-dozen pekerja asing, pendakwah dan pelancong di selatan serta didakwa terlibat dalam serangan pengganas paling buruk negara itu, pengeboman feri pada tahun 2004 yang membunuh lebih 100 orang.

Kumpulan itu biasanya bergantung kepada hubungan saudara mara untuk terus hidup dan berkembang di pulau kecil Jolo, yang mana terdapat unik kecil penasihat tentera AS yang melatih pasukan anti-pengganas di bandar yang lebih besar. - AFP

No comments:

Post a Comment