KUALA LUMPUR: Dua remaja yang menyangka penghuni rumah yang mereka ‘serbu’ sudah tidur nyenyak ternyata meleset apabila mereka diberkas polis sejurus keluar dari kawasan rumah berkenaan di Bukit Seputeh di sini, awal pagi semalam.
Malah, hasil yang mereka peroleh pula tidak berbaloi kerana selain beberapa peralatan elektronik seperti kamera digital dan video, dompet mangsa yang mereka sangka ‘tebal’ pula hanya berisi wang tunai RM46.
Difahamkan, dalam kejadian jam 1.58 pagi itu, mangsa bersama adiknya yang menghuni rumah itu masih belum tidur kerana sedang menonton televisyen.
Bagaimanapun, mangsa dikejutkan dengan bunyi bising sebelum melihat kelibat suspek memanjat tingkat dua rumah teres berkenaan.
Tanpa berlengah, mangsa segera menyuruh adiknya menghubungi polis dan dalam masa tidak sampai 10 minit sepasukan polis tiba dan memberkas suspek.
Ketua Polis Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Khalid, berkata polis tiba ke lokasi kejadian enam minit selepas menerima laporan itu.
“Kami berjaya menahan dua suspek yang masing-masing berusia 17 dan 18 tahun ketika mereka hendak keluar dari kawasan rumah berkenaan.
“Siasatan lanjut kemudian turut menemui sebotol minuman keras serta minyak wangi dan polis percaya suspek terbabit dalam lima kejadian pecah rumah di sekitar Bangsar,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.
Katanya, siasatan lanjut mendapati suspek tiada rekod jenayah lampau.
“ Suspek kini ditahan reman sehingga 2 Oktober ini bagi membantu siasatan.
“Kami menasihatkan orang ramai segera menghubungi polis jika mengesyaki sebarang unsur membabitkan aktiviti jenayah agar polis dapat menyalurkan bantuan dengan segera,” katanya. - Mymetro
* Tahniah
No comments:
Post a Comment