30 September 2009

2 ‘polis remaja’ silap langkah

PETALING JAYA: Dua remaja yang masih berusia belasan tahun menyamar sebagai anggota polis dan berpura-pura melakukan pemeriksaan cegah jenayah sebelum menyamun mangsa.

Kedua-dua remaja terbabit yang berusia 16 dan 17 tahun bijak berlakon sebagai anggota polis sebelum menggertak mangsa menyerahkan wang dan semua barang berharga dimiliki.

Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, suspek dikesan mendapat idea menjadi ‘polis segera’ itu awal pagi semalam sebelum menjalankan operasi pertama di sebuah padang futsal di Kelana Jaya, di sini.

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, kedua-dua suspek yang hanya berpakaian biasa menyamun sekumpulan remaja lelaki berusia belasan tahun berhampiran pusat sukan futsal di Kelana Jaya, di sini.

“Suspek dengan selamba terus menghampiri mangsa sebelum memperkenalkan diri sebagai anggota polis. Suspek kemudian berpura-pura ingin memeriksa kad pengenalan semua mangsa.

“Sebaik selesai memeriksa mangsa, suspek mengugut mangsa menyerahkan wang dan telefon bimbit bernilai hampir RM400,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini, semalam.

Menurutnya, suspek yang belum berpuas hati dengan jumlah diperoleh pergi ke sebuah asrama di Damansara di sini, untuk melakukan perbuatan sama terhadap penghuni asrama berkenaan.

“Ketika itu, terdapat lapan pelajar perempuan berusia awal 20-an dalam asrama berkenaan yang dipercayai sedang nyenyak tidur. Suspek meminta kad pengenalan mangsa untuk pemeriksaan, namun kumpulan pelajar itu berasa curiga lalu meminta suspek menunjukkan kad kuasa polis.

“Suspek yang mula berasa rahsia mereka mungkin terbongkar cuba melarikan diri sebelum dikejar pelajar berkenan.

“Seorang daripada suspek yang berusia 16 tahun ditahan manakala seorang lagi melarikan diri,” katanya.

Menurutnya, hasil siasatan, polis menemui semula sebuah telefon bimbit dan wang tunai RM450 daripada suspek yang ditahan.

Sementara itu, dalam kes berasingan, polis turut memberkas tujuh lelaki yang dipercayai kerap melakukan samun tepi jalan dengan bersenjatakan parang.

Kumpulan penjenayah terbabit ditahan secara berperingkat pada 27 September lalu selepas dikesan kerap melakukan samun termasuk tiga kes samun berturut-turut dalam tempoh 12 jam.

Difahamkan, kumpulan penjenayah yang kerap menyerang mangsa di tepi jalan itu ditahan di Gombak manakala seorang lagi ketua kumpulan itu ditahan di Bangsar.

Hasil penahanan itu, polis menemui parang dan sejumlah telefon bimbit yang pernah dirompak penjenayah daripada mangsa sebelum ini. Mymetro

No comments:

Post a Comment