24 September 2009

10 tahun surau ke surau

KUALA LUMPUR: Ketika ahli keluarga lain bermaaf-maafan di pagi 1 Syawal, seorang lelaki tua yang hanya mahu dikenali Haji Masood bagaikan tidak dipedulikan apabila berkelana dari surau ke surau di sekitar Kota Damansara, dekat sini, sejak 10 tahun lalu.

Bagi Ramadan dan Aidilfitri kali ini, Masood yang berusia lingkungan 70-an menumpang teduh bergilir-gilir sama ada di Surau Al-Falah atau An-Nur, masing-masing di Seksyen 6, Kota Damansara.

Begitu menyentuh perasaan apabila Masood yang sebatang kara tidak tahu destinasi seterusnya, tetapi tetap membalas pertanyaan: “Di sini saja (semua surau di Kota Damansara).”

Apabila ditanya mengapa tidak pulang ke rumah, Masood menjelaskan, dia lebih selesa menetap di surau kerana di rumah tiada sesiapapun.

“Anak-anak sibuk pulang beraya ke kampung isteri masing-masing di Perak. Pak cik tak mahu menyusahkan mereka.

“Tambahan keadaan pak cik yang uzur begini menyusahkan mereka. Oleh itu, biarkanlah saya sendiri,” katanya ketika ditemui di Surau Al-Falah di sini, semalam.

Katanya, dia baru saja keluar dari Hospital Sungai Buloh selepas menerima rawatan kerana menghidap penyakit gout.

Ahli Jawatankuasa (AJK) Surau Al-Falah, Zaaba Abdul Malik, berkata Masood tinggal di surau itu lebih sebulan lalu.

“Terdapat lima surau di Seksyen 6 ini. Saya diberitahu bahawa dia amat dikenali dan bergilir-gilir menumpang setiap surau terbabit sejak 10 tahun lalu.

“Dia menjadikan surau sebagai tempat tinggal, termasuk mandi dan makan. Apabila kami menawarkan pertolongan untuk menghantarnya pulang, dia menolak.

“Malah, dia sering menjadikan alasan untuk beribadah sebagai tujuan bermalam di surau,” katanya.

Zaaba berkata, pihaknya hairan kerana sepanjang tempoh itu dia tidak pernah melihat anak mahupun sanak saudara Masood datang.

“Apa yang dimaklumkannya kepada kami, dia berasal dari Tanjung Karang, anak pulang beraya dan biarkan dia seorang diri.

“Kami risau dan khuatir sekiranya terjadi apa-apa perkara yang tidak diingini,” katanya yang mengakui Masood terlalu berahsia dan sukar memberi kerjasama.

Seorang lagi AJK surau terbabit, Nordin Jaafar, mendakwa dirinya pernah melakukan siasatan bagi mengetahui asal-usul warga emas terbabit.

Katanya, dia sendiri terkejut kerana hasil siasatannya mendapati warga emas itu merempat kira-kira 10 tahun di kebanyakan surau sekitar kawasan berkenaan.

Katanya, AJK Surau Al-Falah mahu kaum keluarga Masood datang menziarah dan mengambilnya pulang ke rumah.

“Sekiranya tiada juga yang datang menjemputnya, kami tidak mempunyai pilihan selain menyerahkannya kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan lanjut,” katanya. - Mymetro

No comments:

Post a Comment