AMSTERDAM 19 Ogos - Sebuah universiti di Belanda memecat sarjana Islam, Tariq Ramadan (gambar) semalam kerana mengendalikan sebuah rancangan di televisyen kerajaan Iran.Universiti Erasmus berpendapat tindakan Ramadan itu boleh dilihat sebagai menyokong rejim di Teheran.
Ramadan yang dikenali sebagai seorang tokoh reformis yang mengutuk keganasan, mahu mencari penyelarasan antara undang-undang Islam dengan kehidupan moden dan menggesa umat Islam yang tinggal di Eropah supaya berintegrasi dengan masyarakat sekeliling.
Beliau baru-baru ini dikritik oleh media Belanda kerana didakwa menyuarakan pandangan lebih konservatif kepada pendengar Islam berbanding pandangan yang disuarakannya di Barat.
Bandar Raya Rotterdam dan Universiti Erasmus memecat Ramadan daripada jawatan-jawatannya sebagai 'penasihat integrasi' dan profesor, dengan alasan program kendalian beliau, Islam & Kehidupan yang disiarkan di Press TV Iran 'bercanggah' dengan tugasnya di Rotterdam.
"Ramadan terus menyertai program tersebut, sekalipun selepas berakhirnya pilihan raya (Presiden) di Iran, apabila pihak berkuasa Iran menggunakan kekerasan untuk menyekat kebebasan bersuara," menurut Universiti Erasmus dan Rotterdam dalam satu kenyataan bersama.
Ramadan yang memiliki kerakyatan Switzerland berkhidmat dengan universiti tersebut sejak 2007.
Beliau yang sedang bercuti di Maghribi memberitahu radio Belanda, beliau akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan yang dibuat atas alasan yang 'terlalu lurus dan terlalu mudah' itu.
Ramadan menulis surat terbuka kepada media Belanda untuk menjelaskan, rancangan berkenaan adalah forum debat dan beliau tidak ada kaitan dengan kerajaan Iran.
Beliau pernah menyampaikan syarahan di Perancis, England dan Amerika Syarikat (AS) dan pernah juga mengalami masalah dengan kerajaan AS.
Visa beliau ke AS dibatalkan pada 2004, sejurus sebelum beliau dijadual memegang jawatan di Universiti Notre Dame di Indiana.
Profesor itu tidak dibenarkan memasuki AS pada 2006 atas alasan beliau pernah menyumbang sebanyak AS$1,336 (RM4,809) kepada sebuah pertubuhan kebajikan yang dikaitkan dengan pertubuhan Hamas, pergerakan Palestin yang disenaraikan oleh AS sebagai pertubuhan pengganas. - AP
No comments:
Post a Comment