06 August 2009

Rai setahun rompakan

KUALA LUMPUR: Bagaikan menyambut ulang tahun rompakan, apabila tiga lelaki bersenjatakan pistol merompak sebuah kedai emas di sebuah pasar raya yang pernah disamun di lokasi dan waktu hampir sama, tahun lalu.

Dalam kejadian sebelum ini, beberapa lelaki bersenjatakan pistol menyerbu masuk ke dalam kedai emas terbabit Jun tahun lalu sebelum melarikan barangan kemas bernilai RM400,000.

Bagaimanapun, tragedi malang itu kembali berulang apabila sekumpulan perompak menjadikan kedai emas di Taman Len Seng, Cheras di sini, sebagai sasaran hanya selepas setahun disamun.

Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari semalam, suspek yang berusia 30-an hingga 40-an itu didakwa cukup berani apabila masuk ke dalam premis berkenaan tanpa menggunakan topeng muka.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa, berkata kejadian berlaku ketika tiada pelanggan di dalam premis kedai emas berkenaan.


“Pada awalnya, seorang suspek masuk ke dalam premis dan melepaskan sedas tembakan sebagai amaran.

“Seorang lagi penjenayah mengeluarkan sebilah kapak sebelum cuba memecahkan cermin pameran di dalam premis berkenaan, tetapi gagal,” katanya.



Menurutnya, suspek kemudian mengacukan pistol ke arah pekerja kedai emas itu dan mengarahkan mereka menyerahkan dulang barangan kemas dalam kaca pameran.

“Bimbang suspek bertindak lebih ganas, pekerja terbabit mengeluarkan dua dulang barangan kemas sebelum menyerahkannya kepada suspek. Difahamkan dulang terbabit berisi cincin emas dan rantai perak bernilai kira-kira RM10,000.

“Ketika kejadian terdapat empat pekerja dalam kedai berkenaan, namun mereka tidak mampu berbuat apa-apa disebabkan suspek mengacukan pistol ke arah mereka,” katanya.

Khairi berkata, kedai emas itu juga tidak mempunyai pengawal keselamatan disebabkan pintu masuk utama pasar raya itu menempatkan pengawal keselamatan.

“Seorang pekerja sempat menekan alat penggera, namun usaha itu hanya sia-sia kerana suspek sudah melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta yang diletakkan di luar premis.

“Bagaimanapun, pihak polis akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) premis ini dan diharap ia membantu mengenal pasti suspek,” katanya.

Dalam kejadian sama Jun tahun lalu, kedai emas sama pernah dirompak dua perompak bersenjatakan pistol sebelum suspek melarikan 11 dulang berisi barang kemas. - Mymetro

* Malaysia syurga buat para perompak.

2 comments:

  1. Hebat juga penyangak ni yeee...
    La ni kita tau sapa yg ok lena!
    Mana pi polis? heee..

    ReplyDelete
  2. NAK CARI POLIS CARI LA KAT CERAMAH-CERAMAH PEMBANGKANG...PASTI BERDOZEN-DOZEN ADA KAT SANA???

    ReplyDelete