21 August 2009

Permohonan kedua penduduk Kampung Buah Pala dibatalkan

PUTRAJAYA 21 Ogos - Penduduk Kampung Buah Pala, Pulau Pinang gagal dalam usaha kedua untuk mendapatkan kebenaran Mahkamah Persekutuan bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan pada 11 Mei lalu yang memutuskan Koperasi Pegawai Kerajaan Negeri Pulau Pinang Berhad (KPKPP) adalah pemilik sah tanah kampung itu.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan hari ini sebulat suara membatalkan dengan kos permohonan mereka selepas membenarkan bantahan awal KPKPP.

Ini merupakan permohonan kedua penduduk kampung itu di Mahkamah Persekutuan setelah permohonan serupa ditolak oleh barisan panel lain Mahkamah Persekutuan pada 24 Jun lalu.

Konflik penempatan Kampung Buah Pala timbul apabila Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada November tahun lalu menolak rayuan KPKPP, syarikat pemaju, Nusmetro Ventures (P) Sdn. Bhd. dan Pentadbir Tanah Daerah Timur Laut untuk mengosongkan kawasan itu bagi memberi laluan kepada projek pembangunan.

Bagaimanapun, pada 11 Mei lalu, Mahkamah Rayuan membuat keputusan yang memihak kepada pemilik tanah dan pemaju dengan memberikan tempoh sebulan kepada penduduk terlibat agar mengosongkan kawasan itu tanpa diberi pampasan.

Usaha penduduk untuk terus mendiami kawasan itu sebelum ini menemui jalan buntu apabila Mahkamah Persekutuan pada 24 Jun lalu menolak permohonan mereka bagi mendapatkan kebenaran merayu. - Utusan

1 comment:

  1. Sudah2 la penduduk kg haram wey,tu bukan tanah korg,blah je la..lgpun dorg dh bermurah hati nak bg rumah lain kt korg,2 tgkt lg tau..jgn nak politikkan la isu ni..dh meluat aku tgk gelagat tak tau malu ni..

    ReplyDelete