PULAU PINANG 14 Ogos - Polis menahan seorang lelaki yang didakwa memukul Pengerusi Pertubuhan Penduduk Kampung Buah Pala, M. Sugumaran dengan sebatang besi di hadapan rumahnya di sini malam tadi.Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob berkata, suspek yang berusia 53 tahun kini ditahan reman seminggu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Beliau berkata, jika sabit kesalahan, lelaki itu boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Malam tadi, Sugumaran, 54, membuat laporan di Balai Polis Jelutong mendakwa dia dipukul seorang lelaki di hadapan rumahnya, kira-kira pukul 8.30 malam.
Dia dipercayai dipukul dengan menggunakan sebatang besi oleh seorang penduduk berusia 53 tahun yang dipercayai dalam keadaan mabuk.
Sementara itu, menurut Sugumaran, berikutan kejadian itu, dia menerima dua jahitan di kepala.
Namun, kejadian itu tiada kena mengena dengan perjanjian yang ditandatangani penduduk kampung itu dan pemaju, Nusmetro Venture Sdn. Bhd.
Katanya, kejadian yang berlaku juga bukan berpunca daripada salah faham atau perbalahan yang besar.
''Kecederaan yang dialami juga hanyalah kecil sahaja dan tidak ada yang perlu dirisaukan kerana laporan polis sudah dibuat. Saya menyerahkan kepada pihak polis untuk melakukan siasatan lanjut,'' katanya. - Utusan
No comments:
Post a Comment