03 August 2009

Kerja roboh rumah Kg. Buah Pala ditangguh esok


PULAU PINANG 3 Ogos - Kerja meroboh rumah penduduk Kampung Buah Pala di Bukit Gelugor di sini yang sepatutnya dilakukan hari ini, ditunda sehingga esok berikutan pemilik tanah kampung berkenaan Koperasi Pegawai Kerajaan Negeri Pulau Pinang (KPKPP) memberi tempoh sehari lagi kepada penduduk untuk berpindah.

Pengerusi KPKPP, Abdul Razak Mansor berkata, kawasan itu sepatutnya dirobohkan hari ini, bagaimanapun atas dasar simpati dan kemanusian, pihaknya memberi tempoh sehari lagi bagi penduduk kampung berkenaan memindahkan barang mereka.

Beliau berharap penduduk Kampung Buah Pala dapat memberi kerjasama untuk keluar dari kawasan berkenaan tanpa menimbulkan sebarang kekacauan.

Bagaimanapun, Penolong Setiausaha Pertubuhan Penduduk Kampung Buah Pala, C. Tharmaraj menegaskan bahawa penduduk tidak akan berganjak dari kampung itu.

“Kami akan tetap berada di sini. Kami mahukan Ketua Menteri, Lim Guan Eng supaya menggunakan kuasa eksekutifnya untuk mengambil balik tanah kampung berkenaan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan memorandum kepada Lim di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini hari ini.

Memorandum tersebut yang menggesa agar tanah berkenaan dikembalikan semula kepada penduduk, diserahkan kepada Setiausaha Politik Lim, Ng Wei Aik.

Kira-kira 200 orang termasuk penduduk kampung berkenaan turut berhimpun di perkarangan Komtar.

Thamaraj berkata, penduduk Kampung Buah Pala juga mahu Lim menunaikan janjinya termasuk menyerahkan semula tanah itu kepada mereka.

- BERNAMA

* Tarik balik pampasan baru tahu.

No comments:

Post a Comment