SHAH ALAM, 31 Ogos: Sempena dengan hari Kemerdekaan negara 31 Ogos hari ini, kebanyakan penduduk Seksyen 23 menyifatkan demontrasi kepala lembu berdarah dan menconteng dinding dengan kata-kata kesat sebagai sesuatu yang ekstrem, keterlaluan serta tidak menghormati kepelbagaian penganut agama penduduk tempatan.
Dakwaan mereka, insiden terbabit sebenarnya bukan mewakili suara penduduk tempatan yang rata-ratanya berpendidikan tinggi dan berpegangan moral, sebaliknya ia adalah usaha pihak-pihak tertentu demi kepentingan politik mereka sendiri.
Bagaimanapun, kebanyakan responden tidak bersetuju dengan cadangan kerajaan negeri, memindahkan kuil Hindu ke kawasan kejiranan mereka.
Namun, mereka yang ditemui menegaskan bahawa penduduk setempat hanya bersetuju menggunakan pendekatan bermesyuarat, rundingan, diplomasi dengan semua pihak, termasuk kerajaan negeri dalam isu pemindahan kuil tersebut.
Jumaat lepas, sekumpulan NGO Melayu yang mendakwa mewakili penduduk Seksyen 23 Shah Alam berarak dari Masjid Negeri ke Pejabat SUK Selangor yang menempatkan Pejabat MB, dengan membawa kepala lembu yang masih berdarah.
Sambil mengarak, mereka menyepak-nyepak kepala lembu itu dan memaki serta megutuk tindakan kerajaan negeri yang memutuskan untuk memindah kuil Hindu di Seksyen 19 ke satu tapak industri di Seksyen 23.
Tiga pemimpin kerajaan negeri yang menjadi sasaran mereka iaitu Adun Batu 3 dan Exco kerajaan negeri, Rodziah Ismail, anggota Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan MB, Tan Sri Khalid Ibrahhim.
Kira-kira 10 anggota polis mengawal tindakan mereka namun tidak ada usaha memberhentikannya.
Pada 18 Ogos lalu, akhbar Utusan melaporkan UMNO Selangor akan mengemukakan permohonan mahkamah untuk mendapatkan perintah injunksi bagi mengetepikan keputusan kerajaan negeri membina kuil di kawasan majoriti umat Islam di Seksyen 23 itu.
Timbalan Pengerusi Perhubungannya, Datuk Noh Omar berkata, ini kerana bantahan penduduk terhadap keputusan itu adalah wajar serta mempunyai asas-asas kukuh selain bertentangan dengan konsep 1Malaysia yang berlandaskan prinsip Perlembagaan Persekutuan.
Berikut adalah tinjauan Harakahdaily yang menemui penduduk Seksyen 23 sendiri sehari sebelum Kemerdekaan negara bagi mengetahui apa pandangan mereka mengenainya. - Harakahdaily
No comments:
Post a Comment