26 August 2009

Ambil tindakan tegas parti ingkar arahan - Hisham

PUTRAJAYA 25 Ogos - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil tindakan tegas ke atas parti politik yang mengingkari arahan dengan meraih undi semasa hari pembuangan undi.

Beliau berkata, perbuatan pembangkang itu amat tidak adil kepada Barisan Nasional (BN) dan UMNO yang mematuhi arahan SPR supaya sebarang bentuk kempen mesti dihentikan selepas pukul 12 malam.

"Apabila kita sudah setuju tidak ada lagi pondok panas, kempen mesti dihentikan pukul 12 malam dan tidak ada peraih undi semasa hari pembuangan undi, ia mesti dipatuhi.

"Tetapi kalau dipersetujui sebelah pihak sahaja ini yang saya bimbangkan dari awal-awal lagi, jadi saya harap SPR ambil tindakan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau mempengerusikan mesyuarat pertama Kepimpinan Petugas Khas Kebangsaan bagi Menjayakan Bidang Keberhasilan Utama (NKRA) Nasional Berkaitan Usaha Menangani Masalah Jenayah.

Hishammuddin mengulas tindakan parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir yang masih meraih undi pada saat-saat akhir dan mencetuskan provokasi sedangkan perkara itu dilarang oleh SPR.

Sementara itu mengenai mesyuarat hari ini, beliau berkata, KDN telah menubuhkan pasukan yang akan bertanggungjawab bertugas 24 jam bagi mencapai sasaran mengurangkan kadar jenayah sebanyak 20 peratus menjelang 2010. - Utusan

No comments:

Post a Comment