KOTA KINABALU, 14 Julai (Bernama) -- Adalah tidak adil kepada rakyat sekiranya kerajaan meneruskan satu dasar seperti Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), sekiranya ia tidak berjaya atau kurang berkesan.
Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata kerajaan sedia maklum ada kalangan masyarakat yang tidak menyokong keputusan untuk tidak meneruskan PPSMI, tetapi beliau berharap mereka akan memahami realiti situasi ini dan tujuan keputusan itu.
Katanya kerajaan sememangnya tidak berhasrat untuk membazir apabila mengambil keputusan menghentikan PPSMI, namun ia tetap perlu dilaksanakan sebagai usaha memperbaiki tujuan asal PPSMI iaitu penguasaan ilmu dan membaiki penguasaan bahasa Inggeris.
"Penguasaan ilmu lebih berkesan pada bahasa Melayu atau bahasa ibunda, dan penggunaan bahasa Inggeris tidak boleh ditingkat melalui PPSMI, tetapi menerusi cara lain," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan persidangan professionalisme Persatuan Pengelola Sekolah-sekolah Malaysia (PPSSM) ke-31 di sini, hari ini, sebagai mengulas komen pelbagai pihak yang tidak setuju PPSMI dimansuhkan.
Merujuk kepada peruntukan RM5 bilion untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris Mohd Puad berkata ia akan segera dibelanjakan, bermula dengan pengambilan duru untuk tahun hadapan, di samping pembinaan makmal bahasa untuk sesi persekolahan akan datang.
Dalam perkembangan lain beliau berkata semua projek-projek pembinaan sekolah yang tersenarai di bawah Rancangan Malaysia ke-Sembilan (RMK-9) yang tidak sempat dilaksanakan akan diberi keutamaan di bawah Rancangan Malaysia berikutnya.
Mengenai Sabah pula, beliau berkata kekangan utama bagi pembangunan sekolah-sekolah di sini adalah masalah tanah dan peruntukan, namun menurutnya pihak kementerian sedar mengenai perkara itu dan sedang berusaha mengatasinya.
Sementara itu mengenai majlis hari ini Mohd Puad berkata beliau menyimpulkan peranan pengelola sebagai pemain utama dalam sistem penyampaian Kementerian.
"Tugas pengelola semakin berat kerana Kementerian cukup serius untuk melakukan perubahan demi perubahan kepada sistem pendidikan negara," katanya sambil menambah beliau akan membawa isu mengenai kenaikan gred jawatan dan permintaan elaun yang disuarakan oleh Persatuan kepada Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.
Sementara itu Yang Dipertua PPSSM Hussein Mustaffa berkata 300 orang peserta dari seluruh negara yang bertugas di Kementerian Pelajaran, Jabatan Pelajaran negeri, Pusat Sumber negeri dan agensi-agensi berkaitan menyertai persidangan dari 12 hingga 15 Julai ini.
Beliau berkata pengelola dilihat sebagai sebagai 'middle manager', dimana asalnya mereka adalah guru besar, pengetua, atau guru penolong kanan di sekolah-sekolah, yang diletakkan di bahagian pentadbiran pelbagai unit di bawah Kementerian.
Katanya Persatuan itu juga menyokong tindakan cepat kerajaan dalam menangani isu berkaitan PPSMI.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment