14 July 2009

86.44 Peratus Keluar Mengundi Sehingga Pukul 4 Petang

KUALA KRAI, 14 Julai (Bernama) -- Kira-kira 86.44 peratus atau 10,626 pengundi daripada 12,293 pemilih keluar mengundi pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manik Urai sehingga pukul 4 petang ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata tinggal sejam lagi sebelum tempoh mengundi ditutup pada pukul 5 petang ini.

Beliau menjangka peratusan keluar mengundi pada hari ini mungkin mencapai 88 hingga 90 peratus.

Penjumlahan undi akan dibuat di Dewan Petra, SMK Sultan Yahya Petra 1, dekat sini dan keputusannya dijangka dapat diketahui seawal pukul 8 malam ini.

Pilihan raya itu diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya Ismail Yaacob, dari PAS yang meninggal dunia pada 22 Mei lalu akibat serangan jantung.

Pilihan raya kecil itu menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Tuan Aziz Tuan Mat, 39 dan Mohd Fauzi Abdullah, 50 yang mewakili PAS.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment