KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri meminta semua pihak supaya tidak membuat sebarang andaian berhubung kematian Teo Beng Hock, Setiausaha Politik anggota Exco kerajaan Selangor, Ean Yong Hian Wah, dipercayai akibat terjatuh dari tingkat lima bangunan Plaza Masalam di sini Khamis petang.
Menterinya Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kementerian bagaimanapun akan membuat siasatan secara telus untuk mengenalpasti punca sebenar kejadian itu.
"Saya masih tidak ada laporan lengkap berkenaan perkara itu, jangan timbulkan sebarang andaian, biar pihak berkuasa yang siasat dari segala aspek untuk mengetahui perkara sebenar," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Malam Anugerah Media Agensi Dadah Kebangsaan (AADK) di sini, malam ini.
Mayat Teo, 30, ditemui dalam keadaan terlangkup pada kira-kira 1.30 tengah hari.
Teo merupakan seorang daripada saksi dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan penyalahgunaan peruntukan negeri baru-baru ini.
Yong adalah antara tujuh anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) dan anggota Exco yang disiasat oleh SPRM berhubung dakwaan penyalahgunaan peruntukan negeri itu dan semalam SPRM menyerbu pejabat Yong di bangunan Sekretariat Negeri di Shah Alam untuk mencari dokumen berhubung cara peruntukan negeri dibelanjakan.
Pada majlis itu, Hishammuddin turut menyampaikan 10 Anugerah Media AADK yang julung kali diadakan.
Antaranya Anugerah Perdana Media yang dimenangi oleh pengarah, penerbit drama serta filem terkenal Azman Yahya atau Jinggo melalui drama Hanya Aku terbitan JS Pictures dan Anugerah Wartawan TV Terbaik kepada pengacara TV3 Mazidul Akmal Sidek melalui Rancangan 360.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment