17 July 2009

Pengguna tidak setuju

KUALA LUMPUR 16 Julai – Pengumuman kerajaan untuk menaikkan kadar tambang bagi pengangkutan awam bermula 1 Ogos ini menimbulkan keresahan di kalangan orang ramai.

Pelayan restoran, Mohd. Hadi Mohd. Surajin, 18, berkata, kenaikan tambang pengangkutan awam terutama bas dan teksi itu adalah tidak wajar.

‘‘Tindakan tersebut tidak patut dilakukan kerana akan menyusahkan orang awam seperti saya yang kekurangan daripada segi kewangan,’’ katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pelajar institut pengajian tinggi (IPT) yang dikenali sebagai Rajakobal, 19, pengumuman tersebut bukan berita yang gembira dan mahu didengar oleh rakyat.

‘‘Kenaikan tambang pengangkutan awam akan menyebabkan masyarakat berasa susah dan sedikit tertekan.

‘‘Kadar sedia ada sudah baik dan tidak perlu dinaikkan lagi,’’ katanya.

Rakannya, Suresh Jeeva, 19, juga bersetuju dengan pendapat tersebut.

‘‘Jika tambang naik susah bagi kami untuk pergi ke tempat pengajian kerana kami bergantung pada pengangkutan awam sepenuhnya,’’ katanya.

Seorang lagi pelajar IPT, Juliana Ibrahimi Husaimi, 19, berkata, dia tidak setuju dengan kenaikan tersebut kerana menyukarkan kehidupannya sebagai seorang pelajar.

‘‘Sebagai pelajar, saya perlukan wang untuk membeli buku-buku rujukan dan kenaikan tambang ini sedikit sebanyak akan mempengaruhi wang pengajian saya,’’ katanya.

Dalam pada itu, seorang jurujual, Ivan Pius, 25, berkata, tindakan tersebut keterlaluan kerana kos hidupnya bakal meningkat kerana kenaikan tambang tersebut.

‘‘Kalau harga minyak naik 10 sen pun orang ramai sudah bising. Inikan pula tambang bas dan teksi yang naik, mesti orang lagi tidak setuju,’’ katanya.

Bagaimanapun menurut seorang Pereka grafik, Farid Hashim, 28, tindakan kerajaan menaikkan tambang pengangkutan awam itu wajar dilakukan.

- Utusan

No comments:

Post a Comment