28 July 2009

Kru filem dibelasah geng penyamun lagak polis

KUALA LUMPUR: Bukan saja menyamar sebagai pegawai polis, sekumpulan dua lelaki dan dua wanita turut membelasah seorang kru filem dengan besi pembuka tayar hingga mengakibatkan kecederaan di kepala dan beberapa bahagian lain tubuhnya selain dipijak.

Malah, mangsa yang berseorangan ketika kejadian menjerit meminta tolong berikutan kawasan didiaminya itu mempunyai kawalan keselamatan 24 jam namun laungannya tidak didengari.

Sumber polis berkata, ketika kejadian kira-kira jam 7 pagi di Flora Damansara di sini kelmarin, mangsa yang berusia 23 tahun dalam perjalanan ke keretanya sebelum didatangi sekumpulan penjenayah terbabit yang menaiki kereta Proton Persona.

“Pada awalnya, seorang daripada suspek bertanyakan jalan keluar dari kawasan kediaman berkenaan sebelum tiba-tiba seorang dari mereka yang memakai topi berlogo polis meluru ke arahnya sambil mendakwa mangsa terbabit dalam satu kejadian rogol,” katanya.

Mangsa yang tidak mengenali suspek kemudian menafikan dakwaan itu sebelum kumpulan terbabit terus bertindak ganas dan mengarahkan mangsa masuk ke dalam kereta mereka kononnya untuk dibawa ke Balai Polis Mutiara Damansara bagi tujuan pengecaman.

Berang dengan tindakan mangsa yang cuba melawan, kumpulan penjenayah terbabit turut mengikat kaki dan tangan mangsa menggunakan pita pelekat selain menutup wajah mangsa dengan bantal.

Ketika dalam kenderaan itu, suspek turut merampas barangan berharga milik mangsa selain menghubungi bapa mangsa agar membayar tebusan RM5,000.

Mangsa ditinggalkan seorang diri dalam keadaan cedera parah di satu kawasan pembinaan.

“Sebaik ditinggalkan, mangsa menyedari dirinya berada di kawasan perumahan masih dalam pembinaan,” katanya.

“Mangsa kemudian dibantu dua orang awam yang kebetulan melalui kawasan itu dan sebaik menerangkan dirinya baru saja disamun dan dibelasah, mangsa dibawa ke Balai Polis Bukit Puchong sebelum mendapatkan rawatan di bahagian kecemasan Hospital Serdang,” katanya.

Mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Kota Damansara berhubung insiden berkenaan. - Mymetro

* Sebelum ini ditempat yang sama : Rumah pengantin baru kena pecah

No comments:

Post a Comment