24 July 2009

2 peragut maut



Dua beradik rempuh teksi ketika larikan beg tangan selepas dikejar wanita mangsa ragut

SHAH ALAM: Dua beradik maut apabila motosikal mereka merempuh belakang sebuah teksi ketika cuba melarikan diri selepas meragut beg tangan seorang eksekutif wanita di persimpangan lampu isyarat Persiaran Kerjaya, Glenmarie di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 3.45 petang, dua beradik berusia 25 dan 30 tahun itu memecahkan cermin kiri Mercedes-Benz wanita berkenaan dan melarikan beg tangan mangsa ketika kereta itu berhenti di persimpangan lampu isyarat.

Bagaimanapun, Junaili Abdul Hamid, 43, bertindak nekad mengejar peragut terbabit dan ketika cuba melarikan diri, motosikal dua beradik itu merempuh belakang sebuah teksi di persimpangan Jalan Batu Tiga Lama.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Noor Azam Jamaludin, berkata seorang peragut terbabit cedera parah selepas terperosok di bawah teksi dan meninggal dunia setibanya di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.

Adik peragut terbabit pula terpelanting dan cuba melarikan diri dalam keadaan terhoyong-hayang serta badan berlumuran darah, tetapi rebah dan meninggal dunia kira-kira 50 meter dari tempat kemalangan.

Ketika ditemui pemberita, Noor Azam berkata, peragut yang meninggal dunia di tempat kejadian itu juga mungkin diserang asma kerana polis menemui alat bantuan pernafasan di tangannya.

Beliau berkata, kereta yang dipandu wanita itu turut melanggar sebuah van menyebabkan bahagian tayar di sebelah kanannya remuk, tetapi mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Beg tangan wanita berkenaan ditemui semula di tempat kejadian dan mangsa sudah membuat laporan polis," katanya. Dua beradik itu berasal dari Tali Air 3, Sungai Burung, Sekinchan.

Sementara itu, suami mangsa, Sheikh Feisal Sheikh Mohamed, 43, berkata beliau bergegas ke tempat kejadian dari pejabatnya di Petaling Jaya sebaik dihubungi isterinya.

Beliau berkata, isterinya memandu seorang diri dan dalam perjalanan pulang ke rumah di Seksyen 13 di sini dari tempat kerjanya di Sungei Way.

Ahli perniagaan itu bersyukur kerana isterinya terselamat, walaupun keretanya rosak selepas cermin tingkapnya dipecahkan peragut terbabit sebelum terlanggar sebuah van.

- Bharian

1 comment:

  1. Pengajaran kepada yg hidup TAPI melakukan kerja yg sewaktu dgnnya. Mereka layak menerima habuan sebab golongan yg sedemikian lah yg menyebabkan orang lain susah dan tak sedikit yg cedera parah serta maut. Kenapa mereka melakukan sedemikian???

    ReplyDelete