25 June 2009

Tragedi ke Tioman

MERSING: Keseronokan tiga beranak yang mahu bercuti di Pulau Tioman, Pahang, bertukar tragedi menyayat hati apabila mereka terbunuh selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Wish mereka terbabas sebelum merempuh sebuah lagi MPV, Naza Ria di Kilometer 18, Jalan Endau-Mersing, semalam.

Pasangan suami isteri itu, Mohamed Faizal Mohamed Latif, 36, dan Kamelia Yahya, 29, serta anak mereka yang berusia dua tahun, Muhamad Danish Mirza, maut di tempat kejadian iaitu kira-kira 17 kilometer dari jeti Sungai Mersing.

Keluarga malang itu yang dikatakan sudah membuat tempahan hotel di Pulau Tioman dalam perjalanan menghala jeti Sungai Mersing.

Kenderaan dipandu Mohamed Faizal dipercayai terbabas sebelum merempuh Naza Ria dari arah bertentangan.

Berikutan rempuhan kuat itu, Kamelia tersepit di tempat duduk sebelah pemandu menyebabkan anggota Bomba dan Penyelamat terpaksa dipanggil bagi mengeluarkan mangsa.

Ketua Polis daerah, Deputi Superintendan Mohd Nor Rasid, berkata kedua-dua kenderaan itu dipercayai gagal dikawal berikutan hujan lebat menyebabkan jalan licin.

Menurutnya, ketika kejadian, Naza Ria dinaiki lima lelaki itu dipercayai dalam perjalanan dari arah pusat bandar Mersing menghala Endau.

“Kita sedang menyiasat kejadian itu, termasuk berusaha mengenal pasti punca kemalangan. Lima lelaki menaiki Naza Ria itu yang cedera dihantar ke Hospital Mersing untuk rawatan,” katanya.

Sementara itu, adik Kamelia, Nurhidayah Yahya, berkata mangsa sekeluarga bertolak dari rumah di Kuala Lumpur pagi semalam untuk bercuti ke Pulau Tioman.

Katanya, ketika meninggalkan rumah, tiga beranak itu tidak menunjukkan sebarang kelakuan luar biasa dan kelihatan ceria.

“Saya tidak sangka hajat mereka bertiga ke Pulau Tioman untuk bercuti tidak kesampaian apabila terbunuh dalam kemalangan itu,” katanya.

Katanya, dia kehilangan kakak sulung yang begitu baik dan sering mengambil berat masalah keluarga.

Abang iparnya bekerja sebagai jurujual kereta di sebuah syarikat di ibu negara.

Jenazah ketiga-tiga mangsa sudah dihantar ke Unit Forensik Hospital Mersing untuk dibedah siasat.

Difahamkan, ahli keluarga mangsa masih dalam perjalanan ke Mersing dari Kuala Lumpur lewat petang semalam.

- Mymetro

No comments:

Post a Comment