26 June 2009

BN kerajaan sah di Perak

IPOH 25 Jun - Semua pihak harus menerima hakikat bahawa Barisan Nasional (BN) adalah kerajaan yang sah dari segi undang-undang untuk mentabdir Perak.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, atas dasar itu, semua pegawai dan kakitangan kerajaan di negeri ini wajar menjalankan tugas serta tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka dengan sebaik mungkin.

''Walaupun ada debat yang hebat, hakikatnya BN adalah kerajaan yang sah dan berhak mentadbir negeri ini (Perak) dengan lebih baik lagi," katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan dengan ketua-ketua jabatan negeri dan Persekutuan serta warga pendidik di Bangunan Darul Ridzuan di sini hari ini.

Turut hadir ialah Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Dr. Abdul Rahman Hashim.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran menegaskan, sebagai kakitangan kerajaan, mereka tidak harus menegakkan ideologi politik masing-masing kerana ia akan membantutkan usaha memajukan rakyat keseluruhannya.

''Yang penting sekali adalah kita bekerja untuk kerajaan yang memerintah pada hari ini. Sebagai kakitangan awam, kita bertanggungjawab kepada rakyat, kitalah yang memikul amanah dan tanggungjawab itu," katanya.

Walaupun banyak perkara pokok perlu diberi tumpuan, katanya, kerajaan tetap tidak akan mengetepikan soal perpaduan nasional antara rakyat di negara ini.

Katanya, kestabilan negara ini perlu dikekalkan kerana rakyat telah biasa dengan kehidupan yang aman, maju dan sejahtera.

''Pandangan politik tidak sepatutnya menjadi faktor perpecahan sebaliknya ia suatu perkara yang biasa berlaku di negara ini.

''Hakikatnya kepelbagaian pandangan memberi kekuatan tetapi kita tidak akan berkompromi apabila ada pihak cuba menggugat kestabilan negara," katanya.

Menurut Muhyiddin, kerajaan tidak mahu melihat keadaan tidak stabil berlaku apatah lagi menimbulkan perpecahan di kalangan masyarakat.

Hakikatnya tegas beliau, cabaran-cabaran tersebut dapat dielakkan jika semua pihak faham tentang peranan masing-masing seperti termaktub dalam Perlembagaan.

- Utusan

* Majoriti rakyat Perak tolak BN pada pilihan raya

No comments:

Post a Comment