08 June 2009

Tiga lagi mayat ditemui

FERNANDO DE NORONHA, Brazil 7 Jun – Pasukan Tentera Laut Brazil menemui tiga lagi mayat penumpang pesawat Air France yang terhempas di Lautan Atlantik Isnin lalu, dan menjadikan mangsa yang ditemui setakat ini, lima orang.

Mayat mangsa tersebut ditemui di kawasan di mana pesawat AF447 itu dipercayai terhempas di Lautan pada 1 Jun lalu.

Semalam, pesawat pencari Brazil berjaya mengesan kerusi dan sebahagian sayap kapal terbang di lokasi yang sama.

‘‘Selain mayat, turut ditemui adalah pelbagai serpihan pesawat terbabit.

‘‘Antaranya adalah kerusi pesawat, sebahagian sayap dan bahagian-bahagian lain pesawat,’’ kata jurucakap tentera udara Leftenan Kolonel Henry Munhoz kepada pemberita di timur laut bandar Recife.

Penemuan itu, yang pertama daripada nahas berkenaan dibawa ke kepulauan Fernando de Noronha, sebuah kawasan terdekat yang tidak berpenghuni di mana ia dijumpai, bagi pemeriksaan awal oleh lima polis forensik Brazil.

Daripada situ, semua barang penemuan akan diterbangkan ke bandar Recife untuk analisis lanjut oleh pegawai Perancis yang mengetuai siasatan bagi mengetahui punca yang mengakibatkan pesawat AF447 itu terhempas di Lautan Atlantik pada 1 Jun lalu bersama 228 penumpang dan anak kapal.

Menurut Munhoz, dua mayat lelaki yang ditemui anggota tentera laut Brazil semalam juga akan dibawa ke Recife.

‘‘Mayat-mayat serta serpihan pesawat itu akan dibawa ke Recife. Butiran mengenai barangan peribadi mangsa yang ditemui juga hanya akan didedahkan kepada keluarga mangsa.

‘‘Bagaimanapun, keadaan mayat mangsa tidak akan didedahkan kepada keluarga mereka,’’ ujarnya.

Sementara itu, Kolonel Jorge Amaral dari Brazil semalam memberitahu, pihak tentera udara ‘mengesahkan penemuan tersebut merupakan serpihan pesawat Air France’.

Menurut Amaral dan satu kenyataan rasmi, serpihan dan mayat itu ditemui kira-kira 450 kilometer dari timur laut kepulauan Fernando de Noronha dan 370 kilometer dari tanah besar.

Kawasan itu juga terletak lebih kurang 70 kilometer dari timur laut, lokasi di mana komunikasi terakhir dengan jet itu dilakukan.

Walaupun kotak hitam yang mengandungi data penting tentang minit-minit terakhir pesawat itu masih belum ditemui, punca awal nahas tersebut yang disyaki ditumpukan kepada sensor kelajuan pesawat terbabit yang mungkin gagal berfungsi ketika ia terbang melalui satu ribut kuat.

Penyiasat-penyiasat Perancis semalam memaklumkan, pesawat berkenaan yang sedang dalam perjalanan empat jam menuju Paris dari Rio de Janeiro, mengalami beberapa kerosakan sistem pada saat-saat akhir dan kegagalan fungsi monitor kelajuan turut dialami pesawat Airbus lain. – AFP

No comments:

Post a Comment