03 June 2009

Serpihan pesawat Air France ditemui di Lautan Atlantik

BRASILIA (Brazil): Sebuah tempat duduk pesawat, sepasang jaket keselamatan, serpihan bangkai metalik pesawat dan tanda-tanda bahan api dipercayai daripada pesawat Air France 447 yang membawa 228 penumpang ditemui hari ini di tengah-tengah Lautan Atlantik.

AP melaporkan, pasukan juruterbang tentera Brazil yang ditugaskan dalam misi mencari pesawat itu telah menjumpai serpihan bangkai pesawat kira-kira 410 batu di utara Pulau Fernando de Noronha, Brazil, iaitu di kawasan sepanjang laluan pesawat tersebut sebelum dilaporkan hilang, kata jurucakap tentera udara, Jorge Amaral.

Tidak ada tanda-tanda penumpang yang masih hidup di kedua-dua belah kawasan serpihan dalam lingkungan kira-kira 35 batu.

"Lokasi objek itu dijumpai adalah ke sebelah kanan titik di mana isyarat akhir dikeluarkan pesawat," kata Amral.

"Ini menunjukkan pesawat itu mungkin cuba melakukan pusingan, mungkin untuk kembali ke Fernando de Noronha, tetapi ia hanya hipotesis."

Amaral berkata, pihak berkuasa masih belum dapat mengesahkan yang serpihan itu datang daripada pesawat Air France sehingga mereka mendapat sebahagian daripada serpihan untuk dikenal pasti.

Kapal tentera Brazil dijangka tidak akan dapat tiba di kawasan itu sehingga Rabu.

Penemuan itu berlaku selepas lebih 24 jam pesawat yang terbang dari Rio de Janeiro ke Paris itu dilaporkan hilang dengan semua penumpang dikhuatiri terbunuh.

BERITA TERDAHULU

Siri kejadian luar biasa punca jet Air France hilang

RIO DE JANEIRO: Misi mencari bangkai pesawat Air France Flight 447 yang membawa 228 penumpang masih diteruskan tanpa henti. Para penyiasat Perancis berkata, beberapa siri kejadian luar biasa mungkin menyebabkan pesawat tersebut jatuh.

AP melaporkan pasukan penyelamat yang telah melakukan imbasan jauh ke dasar laut dengan meluas ke timur laut Brazil hingga Afrika Barat mengesahkan tidak menemui sebarang petanda daripada pesawat atau penumpang.

Kali terakhir berita daripada pesawat berusia empat tahun itu diperolehi adalah pada pukul 10.14 malam waktu tempatan pada Ahad ketika dalam perjalanan dari Rio de Janeiro ke Paris.

Para penyiasat melakukan siasatan sepanjang malam bagi mengenalpasti punca yang menyebabkan pesawat itu jatuh - angin dan petir atau gabungan faktor-faktor yang membawa bencana.

Menteri kerajaan Perancis yang menyelia pengangkutan, Jean-Louis Borloo berkata, polis negara itu sedang memeriksa senarai nama penumpang.

Beliau juga berkata, pegawai-pegawai "tidak percaya satu pancaran kilat yang merupakan satu kebiasaan dalam penerbangan boleh menyebabkan kehilangan pesawat itu."

"Pastinya berlaku peristiwa luar biasa selepas itu bagi menjelaskan situasi ini," kata Borloo kepada Radio RTL hari ini.

"Usaha mencari tanpa henti telah bermula bagi mengesan dua kotak hitam yang mengeluarkan signal sehingga 30 hari," katanya.

Katanya, kotak-kotak hitam itu kemungkinan besar berada di dasar laut.

Beliau berkata, peluang untuk menemui sebarang penumpang yang masih hidup adalah "sangat kecil, malah tidak wujud."

BERITA TERDAHULU

Semua penumpang Jet Air France 447 dipercayai terbunuh

RIO DE JANEIRO: Semua penumpang jet Air France dari Rio de Janeiro ke Paris yang dilaporkan hilang selepas dipercayai menempuh kilat dan ribut petir kuat ketika melalui lautan Atlantik semalam, dipercayai terbunuh.

Pesawat udara tentera melakukan gerakan mencari sehingga ke pertengahan Atlantik dan turut mendapatkan bantuan menerusi satelit Amerika untuk mencari bangkai pesawat yang membawa 228 penumpang itu.

Jika tiada penumpang yang hidup, tragedi ini bakal menjadi nahas penerbangan yang terburuk sejak tahun 2001.

Juruterbang yang membawa jet komersial dari Paris ke Rio de Janeiro untuk sistem penerbangan terbesar Brazil, TAM, mengesan api di sepanjang lautan yang merupakan laluan jet Air France itu, kata kenyataan yang diemelkan oleh sistem penerbangan itu.

Menurut jurucakap Tentera Udara Brazil, Jorge Amaral, pihak penguasa sedang menyiasat laporan tersebut.

"Ada maklumat yang diperolehi daripada juruterbang TAM yang mengesan beberapa titik oren di lautan itu ketika melalui kawasan itu...yang merupakan lokasi jet Air France hilang.

"Setelah tiba di Brazil, juruterbang itu baru mengetahui tentang kehilangan jet tersebut dan memberitahu tentang titik-titik tersebut yang dirasakan adalah api," kata Amaral.

Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy berkata, puncanya masih belum dikenalpasti dan "tiada hipotesis" dikecualikan. Beberapa pakar menafikan spekulasi yang mengatakan punca jet tersebut terhempas adalah disebabkan kilat.

Sarkozy turut memberitahu ahli keluarga mangsa jet penerbangan 447 itu bahawa potensi untuk menjumpai mereka yang terselamat adalah "sangat kecil"

Semalam, jurucakap syarikat, Brigitte Barrand, pesawat Air France 447 iaitu Airbus A330 yang membawa 216 penumpang dan 12 anak kapal meninggalkan Rio kira-kira pukul 7 malam waktu tempatan. Kebanyakan penumpang adalah rakyat Brazil dan Perancis termasuklah dua warga Amerika.

Kira-kira empat jam kemudian, pesawat itu menghantar signal automatik menandakan ia menghadapi masalah elektrik ketika melalui gelora yang kuat, kata jurucakap tersebut.

Pesawat itu "melalui kawasan ribut petir dengan gelora yang kuat" kira-kira pukul 10 malam. Pesanan automatik diterima 14 minit kemudian "menandakan litar elektrik tidak berfungsi".

Tentera Udara Brazil berkata, perhubungan terakhir dengan pesawat itu adalah pada pukul 10.36 malam waktu tempatan, tetapi tidak memberitahu di mana kedudukan pesawat itu ketika itu.

Pesawat itu hilang kira-kira 186 batu (300 km) timur laut pantai bandaraya Natal, berdekatan kepulauan Fernando de Noronha, menurut jurucakap tentera udara.

Tentera udara Brazil berkata, gerakan mencari bermula pagi Isnin berdekatan Fernando de Noronha.

- Mstar

No comments:

Post a Comment