KUALA LUMPUR 15 Jun - Seorang peragut menangis teresak-esak kerana gagal membayar wang jaminan RM10,000 yang ditetapkan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Amiruddin Shahri, 25, seperti tidak dapat mengawal perasaan kerana kegagalan membayar wang jaminan itu akan menyebabkannya ditahan di penjara sementara menanti hukuman dijatuhkan pada 27 Ogos ini.
Dia sebelum itu mengaku salah di hadapan Majistret Aizatul Akmal Maharani atas tuduhan meragut telefon bimbit jenis Samsung E2510 bernilai RM300 milik seorang penuntut Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Lee Jia Chii, 23.
Perbuatan itu dilakukannya di tepi jalan hentian bas, Jalan Universiti, di sini pada pukul 11.30 pagi, 11 Jun lalu.
Dia yang tidak mempunyai pekerjaan didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, pegawai pendakwa Cif Inspektor Muhamad Sapri Yaakub menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin dan selepas rayuan, ia dikurangkan.
Amiruddin dalam rayuannya menyatakan keluarganya merupakan orang susah dan tidak mampu membayar wang jaminan yang terlalu tinggi selain mendakwa ia adalah kesalahan pertamanya.
Ibu bapa serta abang tertuduh yang hadir turut menangis dan menasihati tertuduh agar bersabar dan sedar akan kesilapannya itu.
Amiruddin dihantar ke penjara selepas gagal menjelaskan wang jaminan.
- Utusan
* Masa ragut tidak ingat...
No comments:
Post a Comment