05 June 2009

Orang dalam istana K'tan didakwa bantu larikan Manohara

Manohara Odelia Pinot sudah kembali ke Jakarta hujung minggu lalu tetapi tanda tanya baru muncul di istana Kelantan, selain dakwaan penderaan yang dilakukan oleh suaminya, putera Sultan Kelantan.

Usaha menyelamatkan bekas model muda Indonesia itu bermula dengan maklumat yang datang dari istana sendiri, lapor akhbar Singapura hari ini, yang meminta ibunya segera ke republik tersebut.

Dewi Sari Asih, kakak Cik Puan Temenggong Kelantan, memberitahu The New Paper bahawa usaha melarikan Manohara Odelia "mustahil" tanpa bantuan tiga pihak utama, termasuk "seorang pemberi maklumat dari dalam istana".

Sumber istana itu, yang tidak didedahkan namanya, pertama kali menghubungi ibu wanita muda itu Daisy Fajarina pada 27 Mei lalu dengan memaklumkan Manohara Odelia akan berada di Singapura tidak lama lagi.

Pada hari kejadian, Sabtu lepas, pemberi maklumat yang sama menghubungi lagi Daisy agar bergegas ke Singapura kerana anaknya akan meninggalkan republik itu pada malam hari berkenaan.

Daisy dengan ditemani Dewi Asih segera mengambil penerbangan dari lapangan terbang Soekarno-Hatta dan tiba di Changi pada jam 8 malam, lapor akhbar itu lagi.

Setengah jam kemudian, mereka berdua tiba di sebuah hotel tempat Manohara Odelia dan suaminya Tengku Muhammad Fakhry Petra menginap dalam rangka kunjungan mereka untuk menziarahi Sultan Kelantan yang sedang mendapatkan rawatan kesihatan.

Dalam perjalanan ke hotel tersebut, mereka menghubungi polis dan pihak berkuasa tersebut mendapatkan bantuan kedutaan-kedutaan Indonesia dan Amerika Syarikat.

Laporan media ini tidak tidak langsung menafikan kenyataan Mohd Soberi Shafii, kenalan dekat Tengku Muhammad Fakhry, yang menyebut putera Kelantan itu merelakan isterinya pergi bersama Daisy.

Sebaik tiba di hotela tersebut, menurut akhbar itu lagi, beberapa pengawal peribadi kerabat tersebut terperanjat dengan kehadiran Daisy dan Dewi Asih.

Pengawal-pengawal itu segera berhubung melalui telefon masing-masing, anak sulung Daisy dipetik berkata.

Anggota keluarga Manohara Odelia itu menunggu dekat lif hotel itu kerana mereka tidak mempunyai kad akses untuk naik ke bilik wanita 17 tahun itu.

Kira-kira 8.40 malam, polis tiba di hotel tersebut.

Menurut Dewi Asih lagi, kemudian seorang wanita warga Indonesia yang menginap di situ menghampiri mereka berdua dan memberitahu bahawa beliau ternampak Manohara Odelia di tingkat tiga tetapi tidak dibenarkan turun.

Tiba-tiba mereka mendengar loceng kecemasan hotel dibunyikan dan seorang wanita bersama seorang lelaki berlari ke lif dengan membawa sesuatu seperti beg doktor, lapor The New Paper.

"Kami ingin ikut mereka (lelaki dan wanita itu), tetapi mereka (pengawal keselamatan hotel) menghalang kami," Dewi Asih dipetik berkata.

Tidak lama kemudian emaknya dengan anggota polis naik ke tingkat tiga dan terserempak dengan Manohara Odelia di dalam sebuah lif sambil menangis dan menekan-nekan butang kecemasan.

Isteri putera Kelantan itu dilaporkan enggan keluar sehingga ternampak ibunya dan menjerit "ibu, jangan biarkan saya dibawa pergi lagi."

Bersama Dewi Asih, mereka tiga beranak kemudian tinggal di tingkat tiga, di bilik wanita Indonesia yang menegur Daisy dekat lif sebelum saat-saat getir tersebut.

Dari situ, Manohara Odelia menghubungi pegawai-pegawai kedutaan Amerika Syarikat yang kemudian tiba dengan pegawai-pegawai kedutaan Indonesia.

Daisy, sewaktu mendedah saat-saat tersebut kepada tabloid Singapura itu, berkata mereka bertiga berada di bilik tersebut antara jam 9 malam Sabtu hingga 4 pagi keesokannya sementara berunding dengan Tengku Muhammad Fakhry yang enggan melepaskan isterinya pergi.

Kedutaan Indonesia di Indonesia mengambil masa empat jam sehingga 4 pagi untuk menyediakan dokumen lengkap bagi membolehkan Manohara Odelia berlepas ke Jakarta pada pagi Ahad lalu.

- Malaysiakini

* Pegawai sini bolehlah buat main, pegawai US...

No comments:

Post a Comment