KUANTAN 31 Mei - Kejam dan tidak berhati perut!
Itu kata-kata sesuai dilabelkan terhadap seorang penjenayah yang sanggup menyamun dan mengelar leher seorang orang kurang upaya (OKU).
Kejadian berlaku kira-kira pukul 2.45 petang ketika mangsa dalam perjalanan untuk menghantar tong gas memasak kepada pelanggannya di Taman Pelindung Jaya, di sini semalam.
Selain dikelar pada bahagian leher, OKU tersebut turut ditoreh dengan menggunakan senjata tajam dipercayai pisau pada bahagian muka, dada serta beberapa anggota badan lain oleh penjenayah terbabit.
Akibat kejadian itu, mangsa, Abd. Rahman Ismail, 57, dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini dan terpaksa menjalani pembedahan pada leher kerana mengalami luka sepanjang kira-kira 11 sentimeter.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Supritendan Zulkifli Taha berkata, ketika kejadian, mangsa dilaporkan sedang memandu sebuah lori untuk menghantar gas memasak yang dipesan oleh pelanggannya di sekitar Taman Pelindung Jaya dekat sini.
''Apabila sampai di Pelindung, mangsa yang sebelah kakinya tidak sama panjang ditahan seorang lelaki berusia dalam lingkungan 50-an kononnya ingin membeli gas dan meminta mangsa menghantar dirinya serta gas ke rumahnya.
''Dalam perjalanan, lelaki tersebut meminta mangsa memberhentikan lori di sebuah lorong di Taman Pelindung Jaya sebelum mengeluarkan senjata tajam dan berlaku pergelutan,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Zulkifli berkata, akibat pergelutan itu, mangsa dikelar pada bahagian leher, dada, muka, tangan serta beberapa bahagian badan lain sehingga parah.
Katanya, suspek kemudian melarikan diri selepas merampas sebuah beg berisi wang tunai kira-kira RM1,000 serta lain-lain dokumen pengenalan diri milik mangsa.
Menurutnya, mangsa yang berlumuran darah di tempat duduk pemandu lori itu kemudian dilihat oleh seorang penduduk di situ lalu menghantarnya ke HTAA.
Tambahnya, akibat kecederaan itu, mangsa tidak mampu bercakap walaupun selepas menjalani pembedahan.
''Polis masih menjalankan siasatan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan selain sedang berusaha mengenal pasti suspek,'' katanya.
Dalam pada itu, bapa saudara mangsa, Abd. Rani Abdullah, 62, ketika ditemui di HTAA hari ini memberitahu, Abd. Rahman mengalami masalah ukuran saiz tulang kaki selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya beberapa tahun lalu.
Katanya, saudaranya itu adalah seorang yang baik, selalu menolong orang dan rajin bekerja serta amat dikenali di kalangan penduduk Beserah dan Kampung Batu Hitam.
''Adalah mustahil kejadian itu dilakukan orang yang tidak berpuas hati dengannya kerana saya pasti Abd. Rahman tidak mempunyai musuh,'' jelasnya.
- Utusan
No comments:
Post a Comment