22 June 2009

Lebih 70 maut, 200 cedera

BAGHDAD 21 Jun - Sebuah bom yang diletakkan dalam sebuah trak meletup ketika pengikut-pengikut Syiah meninggalkan sebuah masjid di utara Iraq semalam, membunuh lebih 70 orang dan mencederakan hampir 200 yang lain dalam kejadian serangan bom paling dahsyat pada tahun ini.

Kejadian letupan itu berlaku berdekatan Kirkuk - bandar yang mengalami ketegangan etnik - beberapa jam selepas Perdana Menteri Iraq, Nuri al-Maliki memberi amaran kepada rakyatnya mengenai lebih banyak keganasan dijangka tercetus selepas Amerika Syarikat (AS) mengundurkan tenteranya dari bandar-bandar di Iraq untuk menamatkan misi ketenteraan di negara itu pada akhir bulan ini.

Bagaimanapun, beliau menegaskan tarikh pengunduran itu akan mengikut jadual 'tidak kira apa yang berlaku pun'.

AS telah mula mengundurkan tenteranya dari pos-pos kawalan di tengah bandar Baghdad, Mosul dan kawasan bandar lain yang dijadualkan berakhir pada 30 Jun ini, dalam satu perjanjian keselamatan pengunduran sepenuhnya tentera AS dari Iraq sehingga 2012.

Namun kejadian pembunuhan dan serangan bom berprofil tinggi yang berterusan, menimbulkan kebimbangan terhadap pihak berkuasa Iraq yang mungkin tidak bersedia untuk mengambil alih kawalan keselamatan dalam negara mereka sendiri.

Menurut polis dan saksi, trak itu meletup ketika pengikut Syiah meninggalkan sebuah masjid di Taza, 20 kilometer dari selatan Kirkuk, selepas menunaikan solat zohor sehingga menyebabkan kerosakan teruk pada masjid dan rumah-rumah di sepanjang jalan di tempat kejadian.

Pasukan penyelamat meneruskan usaha mencari mangsa sehingga pada waktu malam untuk mengesan mangsa-mangsa yang terperangkap dan tertimbus di bawah runtuhan di dalam kejadian letupan tersebut.

Tentera AS berkata, pihaknya telah menyediakan lampu dari jana kuasa dan air di lokasi kejadian.

Menurut polis dan pegawai hospital, jumlah angka kematian meningkat dan sekurang-kurangnya 72 mayat telah ditemui di bawah serpihan-serpihan bangunan yang runtuh itu.

Brigedier Jeneral Polis Kirkuk, Sarhat Qadir berkata, maklumat awal yang diterima, sekurang-kurangnya 63 orang terbunuh dan 170 yang lain cedera, tetapi menjangka jumlah kematian dan cedera akan terus meningkat.

Saksi-saksi berkata, sebuah trak telah diletakkan di seberang jalan masjid itu dan mereka menganggap pemandu itu meletakkan kenderaan di situ untuk bersembahyang.

Bagaimanapun, Ketua Polis Kirkuk Mejor Jeneral Jamal Tahir memberitahu, penyiasat mendapati tidak menolak kemungkinan ia dilakukan oleh penyerang berani mati.

"Trak itu diletakkan berhampiran dengan beberapa buah rumah, dan kebanyakan mangsa yang ditemui berada di bawah runtuhan rumah-rumah itu, mangsa yang terkorban kebanyakan terdiri daripada wanita dan kanak-kanak," kata seorang saksi kejadian.

- AP

No comments:

Post a Comment