26 June 2009

Indonesia henti sementara penghantaran pembantu rumah ke Malaysia mulai semalam

JAKARTA: Indonesia mulai semalam memberhentikan sementara penghantaran pembantu rumah untuk bekerja di Malaysia sehingga perbincangan mengenai kajian semula memorandum persefahaman (MoU) mengenai perkara itu diselesaikan.

Menteri Tenaga Kerja dan Transmigrasi Erman Suparno berkata keputusan itu diambil selepas perbincangan tertutup dengan Duta Besar Indonesia ke Malaysia Da'i Bachtiar, Timbalan Menteri Luar Indonesia Triyono Wibowo dan Atase Tenaga Kerja Indonesia di Malaysia Teguh H. Cahyono di sini semalam.

Perbincangan tersebut diadakan dalam rangka menilai semula penempatan dan perlindungan pembantu rumah Indonesia di Malaysia.

"Sebenarnya secara lisan saya sudah mengatakan pemberhentian sementara ini dalam pertemuan dengan Menteri Sumber Manusia Malaysia semasa Persidangan Buruh Antarabangsa di Geneva, 12 Jun lalu," katanya dalam kenyataan di sini.

Katanya surat pekeliling mengenai keputusan itu akan diedarkan kepada semua agensi berkaitan hari ini.

Selain itu, katanya majikan perlu memenuhi hak pembantu rumah Indonesia seperti pasport dipegang oleh pemiliknya, faedah kenaikan gaji, hari kelepasan setiap minggu dan hak untuk bercuti.

Bagi meningkatkan perlindungan ke atas pembantu rumah dari negara itu, katanya, kaedah pengambilan khidmat pembantu rumah mesti dilakukan secara rasmi menerusi agensi tenaga kerja yang sah dengan kontrak pekerjaan yang jelas.

Menurutnya, Indonesia akan berusaha memperketatkan proses pemergian golongan pembantu rumah ke Malaysia bagi mencegah masalah kemasukkan mereka secara tidak sah ke negara itu.

Erman berkata perbincangan mengenai kajian semula MoU mengenai penempatan dan perlindungan pembantu rumah di Malaysia akan diadakan di Putrajaya pada awal bulan depan.

Katanya beliau akan mengadakan perjumpaan dengan Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S. Subramaniam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor, pegawai Jabatan Imigresen dan Polis Diraja Malaysia.

"Selepas itu, pada pertengahan Julai, akan diadakan pertemuan kumpulan kerja bersama antara Indonesia dan Malaysia bagi membincangkan pelaksanaan peruntukan yang dimasukkan dalam MoU," katanya.

Sementara itu di KUALA LUMPUR, Dr Subramaniam berkata pihaknya akan menunggu kenyataan rasmi dari Indonesia sebelum membuat ulasan.

"Kita perlu mengetahui butiran mengenai keputusan itu," katanya kepada Bernama ketika diminta mengulas pendirian negara jiran itu.

- BERNAMA

* Awak juga yang rugi

No comments:

Post a Comment