KUALA TERENGGANU 2 Jun - Orang ramai yang berang dengan tindakan dua peragut yang cuba meragut dompet seorang wanita, bertindak membelasah kedua-dua penjenayah itu sehingga 'lembik' di Batu Enam, dekat sini hari ini.
Kesemua mereka gagal mengawal sabar selepas berjaya menangkap kedua-dua suspek berkenaan ketika cuba melarikan diri selepas meragut mangsa dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi.
Mangsa, Zaiton Ali, 46, memberitahu, ketika itu dia dalam perjalanan ke sebuah kedai pajak gadai untuk menebus gelang tangan kakaknya selain ke pasar untuk membeli barang keperluan kenduri seorang jirannya.
"Tiba-tiba dompet saya ditarik dari belakang oleh seorang lelaki yang membonceng sebuah motosikal," ujarnya ketika ditemui di Balai Polis Gong Badak di sini hari ini.
Menurutnya, dia terus menjerit meminta tolong sambil berlari mengejar peragut itu dan kebetulan salah seorang rakan anaknya menyedari kejadian itu.
"Rakan anak saya itu terus membaling topi keledar dan terkena salah seorang dari peragut itu menyebabkan motor mereka terbabas," tambahnya.
Menurutnya, orang ramai kemudian terus membelasah penunggang motosikal itu manakala pemboncengnya yang cuba melarikan diri juga berjaya ditangkap.
"Dia (pembonceng) juga menerima nasib sama apabila dipukul. Kedua-dua mereka kemudian diserahkan kepada polis selepas itu," ujar beliau.
Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kuala Terengganu, Deputi Supritendan Harry Chung Chiu Mok ketika ditemui memberitahu, kedua-dua lelaki itu masing-masing berusia 28 dan 32 tahun, berasal dari Setiu.
"Kita juga sedang menyiasat sama ada kedua-dua mereka turut terlibat dalam beberapa kejadian ragut sebelum ini yang berlaku di sekitar kawasan ini," katanya.
- Utusan
* Hebat budak yang baling guna topi keledar tu...
No comments:
Post a Comment