19 June 2009

Autopsi mayat tunjukkan pesawat berkecai di udara

SAO PAULO 18 Jun - Keretakan tulang kaki, pinggul dan lengan mangsa nahas Air France serta serpihan-serpihan besar yang ditarik keluar dari Lautan Atlantik menunjukkan pesawat Airbus itu berkecai di udara.

Setelah lebih 400 serpihan dikeluarkan dari permukaan lautan, ketua penyiasat Perancis melahirkan keyakinan akan dapat mengenal pasti punca nahas Penerbangan 447 itu.

Paul-Louis Arslanian bagaimanapun, turut menggambarkan keadaan pesawat yang terhempas jauh dari kawasan darat di lautan yang sangat dalam sebagai 'satu situasi paling buruk pernah dihadapi dalam siasatan nahas'.

"Penyiasat Perancis mula membentuk imej yang kini semakin kurang kabur," kata Arslanian yang mengetuai agensi siasatan nahas udara Perancis, BEA dalam sidang media di luar Paris semalam.

Menurut beliau, situasi sekarang lebih menggalakkan berbanding pada hari-hari pertama selepas nahas.

"Kami boleh menyatakan kami berasa lebih pasti sedikit dan lebih optimis tetapi masih terlalu awal untuk menjelaskan apa sebenarnya yang berlaku," kata ketua BEA itu.

Jurucakap bagi pemeriksa perubatan Brazil pula berkata, keretakan ditemui dalam autopsi terhadap sebilangan daripada 50 mayat yang ditemui setakat ini.

"Lazimnya, jika kita melihat tubuh mayat masih utuh tetapi keretakan pada lengan, kaki dan pinggul, itu petanda yang jelas menunjukkan pesawat berkecai di udara," kata bekas pakar forensik Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) Amerika Syarikat (AS), Frank Ciacco.

Penemuan serpihan-serpihan besar daripada pesawat menguatkan lagi tanggapan itu, katanya.

Keretakan sedemikian pada mayat mula dilaporkan oleh akhbar Brazil, O Estado de S. Paulo semalam.

Laporan itu juga menyebut, sesetengah mangsa ditemui tanpa pakaian atau hanya dengan cebisan pakaian, dan tidak menunjukkan tanda terbakar.

- AP

No comments:

Post a Comment