01 May 2009

Wabak semakin serius di AS

WASHINGTON 30 April - Wabak selesema babi semakin merebak di Amerika Syarikat (AS) dengan kes-kes baru disahkan di empat lagi negeri semalam manakala bilangan mangsa yang diketahui dijangkiti virus H1N1 itu meningkat kepada hampir 100 orang.

Di California, kira-kira 30 askar marin dikuarantin semalam, selepas seorang daripada mereka disahkan menghidapi selesema tersebut.

Kira-kira 100 buah sekolah ditutup dan banyak lagi mungkin perlu ditutup buat sementara waktu.

Presiden AS, Barack Obama berikrar kerajaan akan mengambil langkah berjaga-jaga paling ketat dalam mengendalikan krisis ketika jumlah kes di AS meningkat daripada 65 kepada 91 orang, manakala ramai lagi disyaki dijangkiti.

Pemangku ketua Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) di Atlanta, Dr. Richard Besser berkata, kes-kes selesema disahkan di sepuluh negeri, termasuk 51 di New York, 16 di Texas dan 14 di California.

CDC juga mencatatkan kes-kes terpencil di Kansas, Massachusetts, Michigan, Arizona, Indiana, Nevada dan Ohio.

Pegawai kesihatan negeri di Maine berkata, ujian makmal telah mengesahkan tiga kes di negeri itu tetapi bilangan tersebut belum dimasukkan dalam kiraan CDC.

Pegawai Illinois pula melaporkan sembilan 'kes disyaki', kebanyakannya di kawasan Chicago, dan tiga sekolah terpaksa ditutup.

Pegawai kesihatan negeri Washington melaporkan enam kes disyaki sementara pihak berkuasa di Maryland menantikan keputusan ujian makmal untuk mengesahkan enam kes disyaki. - AP

No comments:

Post a Comment