01 May 2009

Mexico arah tutup operasi 5 hari

MEXICO CITY 30 April - Presiden Mexico, Felipe Calderon mengarahkan pejabat kerajaan dan perniagaan yang tidak begitu penting bagi ekonomi negara ini ditutup selama lima hari mulai esok.

Beliau juga menggesa penduduk supaya jangan keluar rumah ketika pihak berkuasa terus berusaha untuk memerangi wabak virus selesema babi H1N1 yang disahkan atau disyaki meragut 176 nyawa di Mexico dan semakin merebak ke seluruh dunia.

Bilangan pesakit yang disahkan menghidapi selesema itu di negara ini telah meningkat daripada 46 kepada 99 orang, termasuk lapan yang disahkan maut akibat virus tersebut, menurut kementerian kesihatan.

"Tidak ada tempat yang lebih selamat daripada rumah sendiri bagi mengelakkan jangkitan virus selesema itu," kata Calderon semalam dalam ucapan pertamanya di televisyen kepada rakyat Mexico sejak krisis selesema itu meletus minggu lepas.

Beliau mahu semua pejabat kerajaan dan perniagaan swasta yang tidak penting bagi ekonomi ditutup pada 1 Mei hingga 5 Mei bagi mengelakkan jangkitan berterusan daripada virus tersebut.

Kerajaan mengumumkan, pasar raya, kedai barang makanan, hospital, firma perkhidmatan kewangan, syarikat telekomunikasi dan pengangkutan serta perkhidmatan lain yang perlu akan beroperasi seperti biasa, tetapi syarikat lain dan beberapa kementerian kerajaan akan diarah ditutup.

"Kita mahu mengambil langkah pencegahan yang seberapa menyeluruh supaya dapat membantu mencapai objektif untuk memutuskan kitaran reproduktif virus dengan seberapa luas yang mungkin," kata Menteri Kewangan, Agustin Carstens.

Seberapa ramai kakitangan kerajaan akan diberi cuti tetapi sektor awam penting seperti pengeluaran minyak, pasukan polis dan tentera akan beroperasi seperti biasa, kata beliau.

Menteri itu juga memberi amaran, wabak tersebut akan memberi tamparan kepada ekonomi negara ini yang sudah pun terjejas teruk disebabkan krisis ekonomi dunia. - Reuters

No comments:

Post a Comment