JITRA: Belumpun sempat bergembira selepas 10 minit meragut beg tangan seorang pelajar perempuan, dua peragut bermotosikal tumpas apabila ditahan polis yang ketika itu mengadakan operasi ‘Ops Lejang Bersepadu’ di Kampung Jeragan, Changlun, petang kelmarin.
Difahamkan, dua lelaki terbabit yang memecut laju motosikal mereka cuba melarikan diri dengan membelok ke simpang lain, tetapi gagal apabila anggota polis yang berada kira-kira satu kilometer dari situ mengejar mereka selepas menerima maklumat orang ramai yang suspek terbabit peragut.
Dua lelaki berusia 18 tahun yang dipercayai penganggur itu terkejut melihat sekatan polis di kawasan itu, tetapi gagal melarikan diri menyebabkan mereka ditahan.
Dalam kejadian jam 6 petang itu, mangsa, Noraini Yaakob, 20, dan rakannya yang juga pelajar Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (Polimas), dekat sini, baru keluar dari sebuah kompleks beli-belah di Changlun sebelum diekori peragut terbabit yang menunggang motosikal Honda.
Menurut mangsa, ketika sampai di hadapan Sekolah Menengah Hosba, dekat sini, beg tangan yang diletakkan dalam raga motosikalnya direntap seorang daripada lelaki terbabit menyebabkan mangsa tidak dapat berbuat apa-apa dan mengejar motosikal peragut itu.
Bagaimanapun, mangsa terpaksa berhenti di tepi jalan untuk meminta pertolongan orang ramai selepas gagal mengejar motosikal terbabit.
“Dalam keadaan panik, saya menjerit meminta tolong kerana bimbang segala dokumen termasuk kad pengenalan, telefon bimbit dan kertas tugasan saya yang perlu dihantar hari ini (semalam) berada dalam beg itu.
“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana saya dan rakan terselamat dalam kejadian itu walaupun masih terkejut,” katanya, malam kelmarin.
Berikutan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Changlun untuk memaklumkan perkara itu dan enggan merakam gambar kerana trauma dengan kejadian itu.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Deputi Superintendan Ibrahim Mohd Yusoff, berkata kedua-dua suspek ditahan Ketua Balai Changlun, Sarjan Mejar Roslan Mansor bersama sepasukan anggota polis yang mengadakan sekatan pemeriksaan di Kampung Jeragan.
“Kami mengesyaki sesuatu yang mencurigakan apabila sebuah motosikal putih yang ditunggang dua lelaki terbabit melalui kawasan itu tiba-tiba membelok ke satu simpang di kawasan itu.
“Anggota polis bermotosikal mengejar dan memintas mereka sebelum menahan kedua-dua lelaki terbabit,” katanya.
- Metro
No comments:
Post a Comment