28 May 2009

PKFZ: Rahman Palil serah SPRM siasat

Ketua Umno bahagian Kapar, Datuk Abdul Rahman Palil menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menentukan dakwaan penyelewengan dalam laporan audit Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Ketika dihubungi hari ini, ADUN Sementa itu berkata, beliau sedia menghadapi siasatan SPRM.

"Biar SPRM siasat dan mengambil tindakan jika benar saya terbabit dengan penyelewengan.

"Bagaimanapun, saya yakin saya tidak terbabit," kata Abdul Rahman (foto) yang juga bekas exco kerajaan negeri Selangor.

Nama beliau turut disebut dalam laporan audit PKFZ oleh PriceWaterhouse Coppers (PwC) berkaitan tanah milik Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) yang didakwa boleh menimbulkan kemungkinan konflik kepentingan.

Laporan itu menyebut Abdul Rahman merupakan ahli lembaga pengarah PKA dari 1997 hingga 2003.

Dalam satu mesyuarat lembaga pengarah tersebut, kata laporan itu, beliau telah mengisytiharkan dirinya sebagai pengerusi Koperasi Pembangunan Pulau Lumut Berhad (KPPLB) dan bertanya mengenai cadangan pengambilan balik wajib tanah melalui pembelian terus.

KPPLB merupakan pemilik asal sebahagian daripada tanah tersebut.

Mengikut laporan itu, memandangkan pengambilan balik wajib tersebut akan menguntungkan PKA, maka rasional Abdul Rahman menimbulkan perkara itu adalah tidak jelas.

Lembaga Pelabuhan Klang (PKA) akan membuat laporan kepada SPRM berhubung laporan audit PKFZ.

Pengerusinya, Datuk Lee Wah Beng berkata, beliau sendiri akan membuat laporan kepada SPRM jam 8 pagi esok.

PKFZ merupakan zon bebas komersial dan perindustrian bersepadu seluas 1,000 ekar yang menawarkan kemudahan untuk pengedaran kargo antarabangsa dan sebagai pusat penyatuan setempat.

Ia terletak bersebelahan Pelabuhan Barat di Pulau Indah, dan boleh diakses melalui Lebuhraya Kesas.

Laporan audit PKFZ menunjukkan bahawa kos projek tersebut boleh melonjak kepada RM12 bilion berbanding RM1.96 bilion ketika ia dilancarkan pada 2001.

- Malaysiakini

* Rindu jamuan hari raya YB

No comments:

Post a Comment