13 May 2009

Permohonan Nizar bantah penangguhan didengar pada Isnin

PUTRAJAYA 13 Mei — Mahkamah Rayuan menetapkan Isnin ini bagi mendengar permohonan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin untuk mengetepikan perintah Mahkamah Rayuan yang diperoleh Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir semalam yang menangguhkan pelaksanaan pengisytiharan Mahkamah Tinggi bahawa Mohammad Nizar adalah menteri besar Perak yang sah.

Tarikh itu ditetapkan selepas Mohammad Nizar memfailkan notis usul itu di pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di sini pada 2.20 petang melalui firma guaman Tetuan Leong & Tan. Turut disertakan bersama notis usul itu ialah sijil supaya kes itu disegerakan.

Hakim Datuk Ramly Ali telah membenarkan permohonan Zambry semalam untuk agar ditangguhkan pelaksanaan perintah pengisytiharan itu sehingga kes rayuannya selesai diputuskan oleh mahkamah.

Dalam permohonannya, Mohammad Nizar, 52, mahu Mahkamah Rayuan mengetepikan perintah pelaksanaan itu dan secara alternatifnya memohon mahkamah meminda perintah pelaksanaan itu dengan memasukkan terma-terma yang difikirkan wajar. Dalam afidavit sokongannya, Mohammad Nizar berkata keputusan Mahkamah Rayuan semalam untuk memberikan perintah penggantungan itu kepada Zambry adalah salah dan beliau (Nizar) mengemukakan permohonan untuk membetulkan perkara itu.

Mohammad Nizar berkata Mahkamah Tinggi telah membuat takrif yang betul terhadap Perkara 16 (6) Undang-Undang Tubuh Negeri Perak.

Beliau berkata sekiranya perintah pelaksanaan itu diberikan ia akan merampas haknya serta membuat keputusan Mahkamah Tinggi mengisytiharkannya menteri besar Perak sebagai sia-sia.

Menurutnya perintah yang diperoleh Zambry itu akan mengganggu pelaksanaan secara lancar dan baik pentadbiran kerajaan negeri Perak selaras dengan peruntukan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak.

Mohammad Nizar juga berkata perintah berkenaan akan mengelirukan rakyat negeri itu mengenai siapakah menteri besar yang sah serta menjadikan keadaan politik lebih tegang dan krisis perlembagaan lebih mendalam.

Isnin lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim mengisytiharkan Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah kerana mendapati Mohammad Nizar tidak mengosongkan jawatan sebagai Menteri Besar kerana beliau tidak kehilangan kepercayaan majoriti anggota Dewan Undangan Negeri.

— BERNAMA

No comments:

Post a Comment