IPOH 24 Mei - Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin akhirnya akur bahawa beliau bukan Menteri Besar Perak apabila mengembalikan kereta rasmi kerajaan negeri yang digunakannya di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) pukul 8.10 pagi ini.
Pemulangan kereta berwarna hitam itu bagaimanapun dibuat secara 'senyap-senyap' dan hanya diketahui pihak media pada tengah hari ini.
Perkara berkenaan disahkan oleh Pegawai Khas beliau, Amran Harun yang turut menemani bekas Menteri Besar Perak itu memulangkan kereta dengan nombor pendaftaran AGS10 tersebut.
Amran ketika dihubungi berkata, Mohammad Nizar mengambil keputusan untuk menyerahkan kereta itu sebagai menghormati keputusan Mahkamah Rayuan kelmarin yang mengisytiharkan Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah.
Katanya, tindakan itu selaras dengan pendirian Mohammad Nizar sebelum ini yang bersedia mengembalikan kenderaan itu jika mahkamah memutuskan Zambry sebagai Menteri Besar Perak.
''Mohammad Nizar telah memulangkan kereta rasmi kerajaan negeri di Bangunan SUK pagi ini. Beliau dan pemandunya kemudian menaiki kereta peribadinya bersama saya," katanya.
Mohammad Nizar sebelum ini sentiasa menggunakan kereta tersebut ke mana saja kerana menganggap beliau merupakan Menteri Besar Perak yang sah walaupun selepas Barisan Nasional (BN) mengambil alih pemerintahan kerajaan negeri.
Beliau juga sentiasa bertegas untuk tidak memulangkan kereta rasmi kerajaan negeri itu selagi mahkamah tidak membuat keputusan siapakah Menteri Besar Perak yang sah.
Menurut Amran, pihaknya menyerahkan kunci kenderaan itu kepada pengawal di pondok keselamatan kerana pejabat kerajaan ditutup hari ini.
Ditanya kenapa memulangkan kenderaan tersebut pada hari tidak bekerja, dia berkata, ia dibuat kerana kebetulan mereka dalam perjalanan untuk menghadiri Konvensyen Pas di Teluk Intan.
''Lagipun, kita menerima arahan untuk memulangkan kenderaan itu pada hari Jumaat selepas Mahkamah Rayuan mengeluarkan keputusannya," katanya.
Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Dr. Abd. Rahman Hashim ketika dihubungi turut mengesahkan Mohammad Nizar telah memulangkan kenderaan rasmi itu.
''Saya dimaklumkan oleh pegawai saya bahawa pembantu Mohammad Nizar telah menghantar kenderaan itu pagi ini.
''Saya juga telah minta pegawai saya hantar kenderaan itu ke bengkel untuk diselenggara dan pemeriksaan kerosakan," katanya
- Utusan
cara pemulangan yang paling berhemah drpd seorang pemimpin PAS,penuh berhemah dan berbudi bahasa,kalau la cara ini dilakukan pemimpin UMNO,satu Malaysia balaci PAS sembur dlm cramah mereka.Syabas NIZAR Ngehnga..jgn takat hantar bengkel,hantar sekali kat sapa2 yang sanggup menyamaknya.
ReplyDelete