25 May 2009

Aminah mahu dedah 'wajah' sebenar PKR

BUKIT MERTAJAM 24 Mei - Calon Bebas, Aminah Abdullah (gambar) bertekad akan mendedahkan kepada pengundi mengenai 'wajah' sebenar Parti Keadilan Rakyat (PKR) sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti.

Bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang itu berkata, beliau akan memanfaatkan sepenuhnya tempoh berkempen untuk menjelaskan mengenai sikap pemimpin PKR yang selama ini berselindung di sebalik konsep keadilan untuk mengaburi mata rakyat.

"Saya berada lama dalam PKR dan berjuang habis-habisan untuk mempertahankan parti tetapi akhirnya keluar walaupun ketika itu mereka sedang menuju ke kemuncak.

"Tindakan keluar daripada PKR bukan dibuat sesuka hati, itulah yang akan saya jelaskan kepada pengundi supaya mereka betul-betul faham sikap sebenar pemimpin PKR," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Aminah adalah salah seorang daripada tiga calon Bebas yang disahkan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil DUN Penanti pada 31 Mei ini.

Menurutnya, walaupun ada penyokong PKR cuba memperkecil-kecilkannya dengan label 'calon pengacau', ia tidak akan mematahkan semangatnya untuk terus bersaing.

"Niat saya bertanding ialah untuk menegakkan kebenaran dan keadilan yang sebenar. Sampai sekarang, niat itu masih saya pegang.

"Kalau penyokong PKR nak bagi label apa-apa pun tidak mengapa, saya mahu beri perhatian untuk berkempen untuk pengundi," katanya.

Aminah berkata, beliau dan rakan-rakan lebih selesa berkempen dari rumah ke rumah dan sebagai bekas pemimpin PKR di Pulau Pinang, beliau juga mempunyai ramai kenalan di Penanti.

"Kos kempen saya kecil, jadi saya dan keluarga bersama rakan-rakan lebih selesa kempen dari rumah ke rumah. Walaupun jentera kecil, tapi kami tetap berusaha sedaya yang termampu," katanya.

- Utusan

* Ingan sesumpah jantan sahaja...

No comments:

Post a Comment