23 May 2009

Keputusan mahkamah langkah pertama selesai kemelut Perak - Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata keputusan Mahkamah Rayuan di Putrajaya mengisytiharkan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak, yang sah memihak kepada Barisan Nasional (BN), merupakan langkah pertama dalam menyelesaikan kemelut politik di Perak.

Beliau berkata keputusan mahkamah itu menunjukkan bahawa BN mengikuti prinsip undangundang serta tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan, Undang-Undang Tubuh Negeri Perak yang selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada.

"Keputusan yang dibuat oleh kesemua hakim muktamad, dan secara keseluruhannya ia memberikan petanda bahawa sudah patut selesai satu daripada kemelut yang berlaku di Perak dan status Menteri Besar ini.

"Jadi saya harap semua pihak termasuk yang kalah, parti lawan terima keputusan mahkamah ini dengan hati terbuka, menghormatinya dan harus memberikan peluang kepada pimpinan Datuk Seri Dr Zambry untuk menjalankan tugas dengan tidak diganggu yang membawa kesan kepada kebajikan rakyat Perak," katanya.

Muhyiddin, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan, berkata kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan di sini.

Zambry hari ini diisytihar sebagai Menteri Besar Perak yang sah oleh Mahkamah Rayuan dalam satu keputusan sebulat suara Hakim Datuk Md Raus Shariff yang bersidang bersama Hakim Datuk Zainun Ali dan Hakim Datuk Ahmad Maarop mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 11 Mei yang berpihak kepada Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Muhyiddin berkata: "Pokoknya, (yang) dahulu dipertikaikan (Menteri Besar) telah terjawab dan ini diputuskan oleh badan perundangan negara dan tidak patut diungkit lagi kerana kita (BN), apa sahaja keputusan mahkamah sama ada menyebelahi atau tidak, kita terima."

Beliau berkata parti lawan tidak seharusnya berkempen mempertikaikan keputusan mahkamah hari ini kerana ia dilihat seperti menghina mahkamah.

"Ini boleh menimbul kesangsian dan kecurigaan terhadap kewibawaan kerajaan BN di Perak.

"Kita harap ini tidak berlaku. (Dr) Zambry punyai tugas berat untuk pulihkan keyakinan rakyat dan melakukan usaha membangunkan Perak yang berbulan tidak menentu dan (telah) terganggu kelicinan pentadbirannya. Sudah tentulah tak menguntungkan rakyat. Eloklah rakyat diutamakan, bagi peluang kepada kerajaan yang ada (untuk) mengutamakan rakyat," katanya.

Ditanya mengenai penerimaan rakyat Perak terhadap keputusan Mahkamah Rayuan itu, Muhyiddin berkata: "Saya harap rakyat terima dengan baik sama ada Melayu, Cina dan India kerana keputusan ini akan memadam tanggapan sebelum ini yang menjadi persoalan."

"Apa yang Sultan (Sultan Azlan Shah) buat adalah betul, apa yang dibuat Sultan terbukti selari dengan UndangUndang Tubuh Negeri, semua harus menghormati," katanya.

Mengulas mengenai desakan pembangkang supaya dibubarkan Dewan Udangan Negeri (DUN) Perak bagi membolehkan rakyat menentukan kerajaan negeri, Muhyiddin berkata ia tidak perlu kerana kerajaan yang diputuskan oleh mahkamah hari ini adalah BN.

"Kita adalah kerajaan yang sah. Jadi apa wajar untuk dewan dibubarkan. Kalau tak ada Menteri Besar itu lain cerita. Itu pandangan masingmasing. Saya berpendapat dengan keputusan mahkamah, tidak ada keperluan bubar dewan. Yang penting kerajaan sah, Menteri Besar sah dan kita pikul amanah yang diberi rakyat," katanya.

- BERNAMA

* Kerajaan demokrasi diputuskan oleh rakyat bukan mahkamah.

No comments:

Post a Comment