23 May 2009

DUN Penanti: Hanya 4 layak tanding, satu pencalonan ditolak


BUKIT MERTAJAM: Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti di Pulau Pinang hanya melibatkan persaingan empat penjuru ekoran satu pencalonan ditolak.

Pencalonan Mohd. Saberi Othman, 49, ditolak, demikian diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebentar tadi.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Roslan Yahya mengumumkan status pencalonan pada pukul 11.50 pagi tadi.

SPR juga menerima enam bantahan.

Roslan berkata, pencalonan Saberi ditolak kerana tidak cukup syarat.

Beliau tidak mengulas lanjut manakala Saberi pula terus beredar dari kawasan penamaan calon tanpa memberikan sebarang komen.

Pengundian akan diadakan pada 31 Mei ini.

Setakat pukul 10 pagi tadi, lima orang ada menyerahkan kertas pencalonan masing-masing untuk bertanding kali ini - pilihan raya kecil keenam selepas Mac 2008.

Terdahulu laporan Bernama menyebut, bekas Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Aminah Abdullah, 56, merupakan calon pertama menyerahkan kertas pencalonannya sejurus selepas pusat penamaan calon dibuka pada pukul 9 pagi.

Berbaju kurung putih dan bertudung merah jambu, pencalonan Aminah sebagai calon Bebas itu dicadangkan oleh Yaacob Ali dan disokong Jamaliah Hashim.

Selepas Aminah, Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang, Mansor Othman, 56, menyerahkan kertas pencalonannya diikuti tiga lagi calon Bebas iaitu ahli perniagaan, Saberi; pengurus syarikat NaiKhan Ari Nai Keow, 41, dan pakar motivasi Kamarul Ramizu Idris, 42.

Pencalonan Mansor dicadangkan oleh Ibrahim Ahmad dan disokong Hasan Othman manakala Mohd Saberi dicadangkan oleh Talib Hamid dan disokong Rohayati Akop.

NaiKhan Ari dan Kamarul Ramizu pula masing-masing dicadang oleh Boon Sisawang Nai Choy dan Norizan Abdul Razak manakala pencalonan mereka disokong oleh masing-masing Nah Lee Boon Yoo dan Nor Halimah Ahmad.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan peletakan jawatan wakil rakyat kawasan berkenaan, Mohammad Fairus Khairuddin pada 16 April lalu.

Barisan Nasional (BN) tidak bertanding pada pilihan raya kecil ini kerana menganggap pilihan raya itu hanyalah satu permainan politik pembangkang dan bukan disebabkan keperluan mengikut kehendak perlembagaan.

Di kalangan empat layak yang bertanding ini, Mansor merupakan calon yang sudah tiga kali bertanding iaitu pada pilihan raya umum 1999, 2004 dan 2008 di Pulau Pinang tetapi kesemua usahanya gagal.

Dalam pada itu, Kamarul Ramizu pernah bertanding atas tiket Bebas pada pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang bulan lalu.

Bagi Aminah, Saberi dan Nai Khan Ari, pilihan raya kecil DUN Penanti ini merupakan percubaan pertama mereka bertanding pada pilihan raya di negara ini.

- Mstar

No comments:

Post a Comment