KUALA LUMPUR, 1 Mei (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri melalui Jabatan Imigresen telah mengambil beberapa langkah keselamatan dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada Kementerian Kesihatan dalam menangani wabak selesema babi di semua pintu masuk negara, kata Menterinya Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Antara langkah itu ialah mengenalpasti warganegara dan pelawat yang datang atau pernah melawat negara-negara yang telah disahkan mengalami kes itu oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dari masa ke semasa, katanya.
Selain itu, katanya kerjasama turut diberikan kepada pegawai-pegawai kesihatan dalam mengenalpasti warganegara dan pelawat yang datang atau pernah melawat negara-negara yang telah disahkan mengalami kes wabak itu oleh WHO.
Hishammuddin dalam satu kenyataan Jumaat berkata pemeriksaan kali kedua juga akan dilakukan bagi warganegara yang menggunakan pintu masuk automatik dan tiba dari destinasi yang dikenalpasti telah dijangkiti wabak itu.
Beliau berkata alat pengesan suhu telah dipasang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan kakitangan Jabatan Imigresen akan memberikan kerjasama kepada pegawai-pegawai kesihatan untuk memeriksa penumpang yang tiba di ruang ketibaan dan hadapan kaunter-kaunter ketibaan antarabangsa.
Jabatan Imigresen akan mengenakan tahap pemeriksaan yang sama seperti di KLIA di pintu-pintu masuk udara yang lain seperti di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas (Pulau Pinang), Kuching, Miri dan Bintulu (Sarawak), Kota Kinabalu (Sabah), Senai (Johor) dan Langkawi (Kedah).
Hishammuddin berkata pemeriksaan yang lebih ketat juga dilakukan ke atas warganegara dan pelawat yang tiba di pintu-pintu masuk darat seperti di Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar (Johor Bahru), Bukit Kayu Hitam (Kedah), Padang Besar (Perlis), Pengkalan Hulu (Perak) dan Rantau Panjang (Kelantan).
Katanya Jabatan Imigresen dan Jabatan Laut turut mengenalpasti dan memeriksa dengan lebih lanjut tahap kesihatan anak-anak kapal yang telah berada di kapal dalam tempoh kurang satu bulan di pelabuhan yang berkenaan.
Pegawai-pegawai Imigresen di pintu masuk akan dipastikan sentiasa mematuhi peraturan-peraturan serta prosedur operasi standard (S.O.P) kawalan kemasukan.
"Saya amat berharap agar semua pihak dapat memberi kerjasama dan mematuhi arahan keselamatan ini demi menjamin kesejahteraan rakyat sekali gus meningkatkan kualiti tahap keselamatan di pintu-pintu masuk utama negara," katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment