08 May 2009

Baki 3 pemimpin Hindraf antara 13 dibebas


PUTRAJAYA: Baki tiga pemimpin Barisan Bertindak Hak-hak Hindu (Hindraf) adalah antara 13 tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang akan dibebaskan dalam masa terdekat.

Mereka adalah M Manoharan, P Uthayakumar dan K Vasantha Kumar.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika mengumumkan perkara itu berkata, beliau akan menandatangani dokumen pembebasan itu hari ini.

"Mereka akan dibebaskan dalam masa dua atau tiga hari," katanya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat pasca Kabinet di kementeriannya di sini, hari ini.

Katanya, pembebasan tahanan tersebut bukan bermotifkan politik.

Selain ketiga-tiga mereka, sepuluh lagi yang dibebaskan termasuk tiga warga Malaysia, dua warga Indonesia dan lima warga Filipina.

Tiga warganegara itu adalah Zulkepli Marzuki, Jeknal Adil and Adzmi Pindatun, manakala dua warga Indonesia adalah Zainun Rasyhid dan Aboud Ghafar Shahril.

Lima warga Filipina adalah Sufian Salih, Hasim Talib, Abdul Jamal Azahari, Yusof Mohd Salam dan Husin Alih.

Bulan lalu, dua pemimpin Hindraf iaitu V. Ganabatirau dan R.Kenghadharan adalah antara 13 tahanan ISA yang dibebaskan.

Tahanan lain yang turut dibebaskan bulan lalu adalah tujuh anggota Darul Islam, tiga rakyat asing kerana memalsukan dokumen dan seorang anggota Jemaah Islamiah.

Awal bulan ini, Manoharan dikatakan mempertimbangkan untuk meletak jawatan beliau sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam Shah kerana dikatakan tidak mampu melaksanakan tugas itu.

Sementara itu, semalam, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menolak rayuan Uthayakumar agar pertuduhan mengikut Akta Hasutan ke atasnya digugurkan. _ Mstar

* Tahniah kerajaan Selangor atas kejayaan kempen bebaskan Mano

Teresa Lancar Kempen Bebas Manoharan

SHAH ALAM, 5 Mei - Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor sebulat suara menyokong penuh Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Kota Alam Shah, M. Manoharan untuk terus mengekalkan jawatan tersebut walaupun menerima tekanan hebat tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ketika ini.

Demikian kenyataan Teresa Kok ketika ditemui pada sidang media sempena pelancaran Kempen Pembebasan Manoharan daripada tahanan ISA di sini yang turut dihadiri oleh Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor dan isteri Manoharan, S. Pushpaneela.

Beliau menyifatkan spekulasi peletakan jawatan Manoharan sebagai Adun Kota Alam Shah dengan alasan tidak melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat kerana berada di bawah penahanan ISA menggambarkan kezaliman penahanan ISA.

“Penahanan beliau di bawah ISA hanya kerana menjadi peguam bela kepada pemimpin Hindraf yang didakwa di mahkamah,” katanya.

Katanya, Manoharan pernah memfailkan kes-kes habeas corpus ke mahkamah untuk membebaskan dirinya daripada ISA namun usaha dan hak beliau dinafikan.

“Kami difahamkan Lembaga Penasihat Penahanan ISA dijangka bermesyuarat pada 18 dan 19 Mei ini untuk mengkaji semula penahanan Manoharan”, tambahnya lagi ketika melancarkan kempen membebaskan Manoharan dan tahanan ISA yang lain di seluruh Selangor, khasnya di sekitar Kota Alam Shah yang dijangka tamat pada 17 Mei.

Teresa berkata dalam kempen ini beliau dijangka melancarkan kempen antaranya mengumpul tandatangan, ceramah dan lawatan penerangan kepada orang ramai. Kesemua tandatangan petisyen yang dikumpulkan dijangka diserahkan kepada Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri serta Lembaga Kaji Semula Penahanan ISA melalui peguam bela Manoharan, Karpal Singh.

Beliau menggesa kepada rakyat yang menyokong kempen ini agar mengemukakan bantahan dan petisyen menerusi laman sesawang www.petitiononline.com/freemano ataupun melalui emel freemanoharan@gmail.com. - M.SAHRULNIZAM M.ZAIN _ www.selangorkini.com

1 comment:

  1. INI SEMUA POLITIK TOLOL YG DIAMALKAN OLEH ORG UMNO YG JAHIL TENTANG UNDANG-UNDANG. UMNO TERPAKSA LEPASKAN 3 PEMIMPIN HINDRAFT UTK DPTKAN UNDI RAKYAT DIPENANTI. UMNO INGAT RAKYAT BODOH MACAM AHLI UMNO BAWAHAN YG BOLEH DIPERKUDAKAN. PERKARA YG BERLAKU DI PERAK MEMBUAT RAKYAT MALAYSIA NAIK MELUAT DGN UMNO TERUTAMANYA BANGSA CINA & INDIA. LAGI SATU U,NO TAKUT PRK DIBUAT DI SELANGOR, PASAL TU MANOHARAN DILEPASKAN.

    ReplyDelete