18 May 2009

102 penumpang dicari

PUTRAJAYA 17 Mei – Kementerian Kesihatan berusaha menjejaki 102 penumpang pesawat AirAsia AK5358 dari Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), Sepang ke Pulau Pinang pada pukul 11 pagi, 13 Mei lalu.

Usaha itu dibuat membabitkan pejabat-pejabat kesihatan daerah ekoran salah seorang penumpang penerbangan itu didapati positif menghidap influenza A (H1N1).

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Ramlee Rahmat (gambar) berkata, kesemua penumpang pesawat tersebut diminta menghubungi Kementerian Kesihatan melalui talian 03-88810200 atau 03-88810300.

‘‘Kita perlu menjejaki semua penumpang ini kerana pesakit kedua positif H1N1 yang kini menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang telah menaiki pesawat yang sama.

‘‘Kami telah menerima semua maklumat penumpang AK5358 dari syarikat penerbangan AirAsia dan sedang dalam proses untuk menjejaki mereka,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Kementerian Kesihatan semalam mengesahkan kes kedua H1N1 dikesan di negara ini melibatkan seorang pelajar perempuan yang merupakan rakan kepada kes pertama yang dikesan semalam.

Ramlee berkata, semua penumpang berkenaan perlu menjalani kuarantin rumah selama tujuh hari untuk memastikan mereka tidak mempunyai tanda-tanda influenza.

‘‘Sekiranya penumpang ini tidak menunjukkan tanda-tanda dijangkiti influenza, maka mereka akan dibenarkan untuk keluar dari rumah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya sedang mengesan 24 penumpang lain termasuk seorang warganegara Malaysia yang menggunakan penerbangan MH091 pada 13 Mei lalu, iaitu pesawat yang dinaiki pesakit pertama H1N1.

‘‘Siasatan mendapati terdapat 119 penumpang MH091 yang berada di Malaysia dan daripadanya, tiga orang telah dimasukkan ke hospital dengan dua disahkan positif.

‘‘Selain tiga orang ini, penumpang lain yang berjaya dikesan telah dikuarantin di rumah dan berada dalam keadaan sihat,” katanya.

Tambahnya, Kementerian Kesihatan telah memaklumkan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai status 73 penumpang MH091 yang meneruskan perjalanan ke negara lain.

‘‘Ini untuk membolehkan tindakan susulan diambil oleh kerajaan di negara berkenaan,” katanya

- Utusan

* Sudah terlambat...

No comments:

Post a Comment