TAIPING, 3 April (Bernama) -- Wartawan media cetak dan elektronik yang menunggu di luar Kem Tahanan ISA Kamunting di sini untuk merakamkan pembebasan 13 tahanan ISA dari situ, mula beredar pada tengah malam ini setelah dimaklumkan seorang jurucakap polis bahawa pembebasan akan hanya dilakukan pagi Sabtu.
Petugas media menghubungi jurucakap itu melalui telefon, setelah mereka gagal mendapat sebarang maklumat jelas berhubung pembebasan itu.
Adalah difahamkan bahawa anggota keluarga tahanan terbabit telah dimaklumkan bahawa pembebasan itu akan dilakukan pada pukul 8 pagi.
Wartawan dan jurufoto Bernama adalah antara yang terawal sampai ke kem itu, yang disertai kira-kira 20 anggota media termasuk jurukamera TV.
Kelihatan juga beberapa kenderaan, di percayai membawa penyokong tahanan yang akan dibebaskan itu, di luar pintu masuk utama kem itu.
Kawasan luar kem itu diterangi dengan lampu-lampu dan hujan lebat yang turun sejak petang tadi telah berhenti pada kira-kira pukul 9.30 malam.
Najib mengumumkan mengenai pembebasan serta merta 13 tahanan ISA itu dalam ucapan sulungnya sebagai Perdana Menteri malam ini.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar dalam satu kenyataan berkata, dua peguam Hindraf V. Ganabatirau, 40, dan R. Kenghadharan, 40, adalah antara 13 tahanan ISA yang dibebaskan itu.
Mereka ditahan pada 13 Dis 2007.
Tahanan lain yang dibebaskan ialah tujuh orang anggota Darul Islam, tiga rakyat asing kerana memalsukan dokumen dan seorang anggota Jemaah Islamiah.
Anggota Darul Islam yang dibebaskan ialah Binsali Omar, A. Artas A. Burhanudin, Idris Lanama, Francis Indanan, Mohd Nazri Dollah, Pakana Selama dan Mohd Arasad Patangari yang ditahan sejak 2006. Tempoh tahanan mereka sepatutnnya berakhir tahun depan.
Tiga rakyat asing itu ialah Sundaraj Vijay (warga India) dan dua warga Myanmar iaitu San Khaing dan Amir Hussain. Mereka ditahan sejak 2007.
Anggota Jemaah Islamiah itu ialah Wan Amin Wan Hamat yang ditahan sejak 2003. Tempoh tahanan beliau sepatutnya berakhir pada 2011.
-- BERNAMA
* Pak Lah sepatutnya malu dengan tindakan (baik budi) Najib ini.
No comments:
Post a Comment