KUALA LUMPUR, 3 April (Bernama) -- MIC, parti politik terbesar kaum India dalam negara yang menyambut baik pembebasan dua pemimpin Hindu Rights Action Force (Hindraf), meminta supaya kerajaan membebaskan tiga lagi pemimpin pergerakan itu yang masih ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Presiden MIC Datuk Seri S.Samy Vellu berkata semasa komuniti kaum India gembira dengan pembebasan itu, mereka juga merasakan bahawa dengan membebaskan tiga lagi pemimpin Hindraf, ia pasti akan mengukuhkan kepercayaan dan sokongan kaum India terhadap kerajaan.
Datuk Seri Najib Tun Razak yang baru mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri yang baru pagi ini dalam ucapan sulungnya antara lain mengumumkan pembebasan 13 tahanan ISA yang ditahan mengikut ISA, termasuk dua pemimpin Hindraf.
Dua pemimpin Hindraf yang dibebaskan adalah peguam V. Ganabatirau, 36, dan R. Kengadharan, 42, manakala tiga yang masih ditahan ialah P. Uthayakumar, 47; M. Manoharan, 48; dan K.Vasantha Kumar, 36.
Semua mereka ditahan pada 13 Disember 2007 selepas didapati terbabit menganjurkan perhimpunan haram di Kuala Lumpur pada November 2007.
Samy Vellu, yang merupakan bekas Menteri Kerja Raya ketika dihubungi di sini turut menyampaikan penghargaan kepada kerajaan dan Najib, terhadap keputusan membebaskan dua pemimpin Hindraf itu.
Sementara itu, Ketua Penerangan MIC Datuk M. Saravanan menggesa mereka yang dibebaskan untuk bekerjasama dengan kerajaan dalam menangani masalah yang dihadapi oleh komuniti kaum India.
"Masih ada tiga lagi pemimpin pergerakan ini yang ditahan. Kami harap mereka juga akan dibebaskan. Ini bukan sahaja akan dapat memenangi sokongan komuniti India, tapi juga menunjukkan bahawa kerajaan baru di bawah pentadbiran Najib turut mengambil berat terhadap semua kaum," kata Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan itu ketika dihubungi di sini.
"Mereka yang dibebaskan perlu sedar bahawa adalah lebih baik untuk bekerjasama dengan kerajaan bagi merelisasikan matlamat perjuangan mereka, daripada menggunakan cara yang menyalahi undang-undang untuk mendapat apa yang dimahukan," tambahnya.
Sementara itu, Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon menyambut baik pengumuman Najib mengenai hasrat kerajaan untuk mengkaji secara menyeluruh ISA, iaitu akta yang antara lain membolehkan penahanan seseorang dibuat tanpa perbicaraan.
Beliau turut mencadangkan satu jawatankuasa yang dilantik oleh parlimen diwujudkan, bagi melihat semua cadangan yang dikemukakan dalam kajian semula akta itu.
"Perkara ini memang menjadi pendirian Gerakan selama ini," tambahnya.
-- BERNAMA
* Mansuhkan ISA, heret mereka ke mahkamah jika ada bukti kesalahan mereka. Jika tidak ini dilihat umpan politik menjelang pilihanraya kecil.
No comments:
Post a Comment